KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Awi Rafael, Ippo Hafiz dan Farah Asyikin antara yang bakal berentap di program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV) yang bakal bermula 31 Mac ini. Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata program yang mengangkat lagu ketuhanan sebagai konsep pertandingan itu masih mengekalkan format yang sama seperti musim pertama dengan menampilkan 11 peserta. “Kami di Astro berasa amat teruja untuk membawakan Gema Gegar Vaganza musim kedua kepada penonton. “Justeru itu, kami masih mengekalkan format penganjuran GGV musim kedua seperti tahun sebelumnya. Cuma, pada musim ini kami tampilkan 11 peserta berbanding 10. “Keputusan ini diambil selepas kehadiran ramai penyanyi berbakat hadir ke sesi ujibakat tertutup. Sayang rasanya apabila mereka yang benar-benar layak tidak diberikan peluang,” katanya kepada mStar Online pada Rabu. Barisan peserta GGV2 yang diumumkan pada Rabu. Antara peserta kumpulan yang bertanding ialah Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah dan Heliza & Hazwani (pasangan duo) manakala peserta solo adalah Fitri Haris dan Adeep Nahar. Dari segi pemarkahan pula, barisan peserta akan diadili sepenuhnya oleh dua juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi serta juri jemputan pada setiap minggu. Tambah Raqim, penyanyi Siti Nordiana dan pelakon Fikry Ibrahim masih dikekalkan sebagai pengacara dan turut diberi kepercayaan mengacara bersama iaitu Fakhrul daripada kumpulan UNIC. “Selain itu, kami juga memperkenalkan seorang lagi pengacara baharu yang akan bergandingan bersama Siti Nordiana dan Fikri iaitu Fakhrul UNIC. “Fakhrul berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian tetapi juga pengacaraan di mana dia juga merupakan pengacara program terbitan Astro Oasis, Bismillah Ad-Duha,” ujarnya. Pengacara GGV musim kedua ini. Gema Gegar Vaganza akan mula bersiaran secara langsung selama tujuh minggu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula 31 Mac ini. Ia juga akan disiarkan menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) pada setiap hari Sabtu, 9 malam. Juara Gema Gegar Vaganza bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi. Persembahan Awi Rafael sebagai salah seorang peserta. Naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 dan tempat ketiga pula mendapat wang tunai bernilai RM20,000 beserta trofi. Tempat keempat pula bakal meraih wang tunai RM15,000 manakala tempat kelima sebanyak RM10,000 dan RM5,000 untuk pemenang tempat keenam berserta trofi.