suria

Raja Azmi Juga Umpama Siti Nurhaliza Yang Baru Bersalin

Raja Azmi tampil sebagai pengarah buat kali pertama menerusi filem berjudul Enjin No 9 yang akan ditayangkan bermula 29 Mac ini. Foto AZHAR ARIF

TAMPIL sebagai pengarah buat kali pertama, penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman menyifatkan filem arahannya berjudul Enjin No 9 sebagai bayi yang sudah lama ditunggu-tunggunya.

Malah Raja Azmi menggambarkan perasaan gembira itu sama seperti penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza yang baharu sahaja menimang cahaya mata pertama pada 19 Mac lalu selepas 11 tahun berusaha mendapatkan zuriat.

"Ketika menjalani penggambaran setiap hari saya berasa gementar seperti perasaan sedang hamil menantikan bayi sulung yang saya tunggu sejak sekian lama.

"Hari ini 'baby' itu lahir akhirnya dan perasaan saya begitu gembira seperti mana Siti Nurhaliza menyambut kelahiran anak pertamanya yang ditunggu-tunggu selama ini! Rasa macam Siti pula.

"Ini filem pertama arahan saya dan ia sangat istimewa dan akhirnya lega ia bakal menemui penonton tidak lama lagi," katanya.

Barisan pelakon bersama penerbit Enjin No 9, Tengku Azalli Tengku Sulaiman.

Raja Azmi ditemui pada tayangan perdana Enjin No 9 yang diadakan pada malam Isnin lalu.

Enjin No 9 menampilkan barisan pelakon seperti Tajul Arif, Bila AF, Kazar, Datin Fadilah Mansor, Sharifah Shahira, Abon, Dottie, Ayuni Haris dan Hafiz Bahari.

Ia bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mac ini.

Mengulas mengenai keputusannya bergelar pengarah, Raja Azmi berkata, ia berlaku secara kebetulan selepas penerbit filem itu, Tengku Azalli Tengku Sulaiman memintanya mengarahkan karya itu walaupun pada awalnya dia hanya membantu mengolah skrip.

Katanya,  pada awalnya dia agak bimbang sekiranya gagal memberikan yang terbaik kerana tiada pengalaman sebagai pengarah namun keyakinan diberikan Tengku Azalli membuatkan dia mengambil risiko itu.

Tajul Arif kali pertama berlakon.

"Sebenarnya pada mulanya saya hanya membantu mengolah skrip filem itu kepada lakon layar tetapi di saat-saat akhir, penerbit meminta saya mengarahkan filem itu.

"Beliau yakin saya dapat lakukannya dan saya sahut cabaran itu dan Alhamdulillah saya gembira ambil risiko itu," ujarnya.

Tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan berbentuk anugerah untuk pengarahannya itu, Raja Azmi sebaliknya sudah berpuas hati apabila berjaya menyiapkan Enjin No 9 dan berharap ia akan mendapat sambutan baik penonton.

"Saya anggap ini sebagai satu perjudian... baik atau pun buruk, keputusannya hanya apabila filem ini ditayangkan di pawagam nanti.

"Bukan pengiktirafan yang saya cari sebaliknya cukup sekadar penonton bergembira dengan kisah yang dipaparkan kerana ia membawa pelbagai mesej disebalik komedi diselitkan," jelasnya.

Bila AF.

Bercakap mengenai pemilihan Tajul sebagai watak utama, Raja Azmi berkata, walaupun dia tidak mempunyai pengalaman berlakon namun penyanyi Sedalam-Dalam Rindu itu berjaya membuktikan dia boleh berbuat demikian.

Kata Raja Azmi, dia gembira dengan hasil ditunjukkan oleh Tajul selain menyifatkan penyanyi itu seorang yang berbakat besar dan mampu pergi jauh jika terus diberi peluang dalam bidang lakonan.

"Pada awalnya bimbang juga sehingga saya buat kelas lakonan khas selama tiga hari bersama heroin bagi memastikan mereka dapat keserasian sebagai pasangan dalam Enjin No 9.

"Dia cepat belajar dan ketika di set penggambaran saya nampak usahanya untuk memberi yang terbaik dan Alhamdulillah dia beri apa dalam bayangan saya untuk wataknya sebagai Ujang," katanya.

Tambah Raja Azmi, dia juga terkejut dengan prestasi bekas peserta program Akademi Fantasia iaitu Bila yang memberikan persembahan bertenaga dalam Enjin No 9 walaupun hanya sebagai watak pembantu.

"Saya kagum dengan Bila kerana setiap kali datang ke set penggambaran dia sentiasa bersedia dan hafal setiap baris skripnya.

"Wataknya tidak besar dalam filem ini tetapi kehadirannya memberi warna kepada keseluruhan jalan ceritanya," kata Raja Azmi.

Raja Azmi, Enjin No 9

Artikel Lain