PELAKON dan penyampai radio Suria FM Sharifah Shahira tidak pernah memilih tawaran lakonan diberikan walaupun dia hanya dilihat membawa watak komedi ataupun kini digelar sebagai 'Makcik Bawang'. Sebaliknya kata Shiera, 44, dia bersyukur masih ada pihak yang memberikannya tawaran selain melihat ia sebagai kitaran biasa bagi seorang pelakon senior sepertinya. "Pada tahun 90-an saya tak pernah diberikan watak komedi tetapi masuk tahun 2000 sehingga sekarang memang kebanyakannya watak komedi atau pun 'Makcik Bawang'. "Saya tidak kisah pun kerana mungkin lagi 10 atau 20 tahun (jika masih aktif berlakon) watak diberikan kepada saya waktu itu akan berubah seperti watak sedih atau yang perlu menangis tepi tangga seperti mana kita boleh lihat yang berlaku kepada aktres veteran sekarang. Shahira akan terus berlakon selagi khidmatnya diperlukan. "Pada saya itu satu kitaran dan kalau hendak memilih pun saya perlu sedar kedudukan saya di mana," katanya. Dalam pada itu, Shiera berkata, sebagai pelakon sudah semestinya dia teringin untuk membawa pelbagai watak dan bukannya hanya dilihat sebagai pelakon komedi semata-mata. "Siapa yang tidak teringin untuk membawa watak mencabar dan sebenarnya dulu pun saya seorang pelakon serius tetapi saya perlu sedar yang peranan ditawarkan produksi agak terhad. "Apabila saya sering diberi watak komedi atau 'Makcik Bawang' saya terima dan itu juga cabaran untuk memberikan kelainan pada sesuatu watak itu. Shiera bergandingan dengan Fizi Ali (tengah) dan Zulin Aziz (kanan) menerusi segmen Suria Pagi di Suria FM yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat. "Kalau memilih sangat nanti tak makan pula anak-anak saya tambahan pula kos kehidupan juga semakin tinggi sekarang," katanya. Dalam perkembangan lain, Shiera berkata, dia teruja apabila menerima tawaran berlakon daripada penerbit Raja Azmi untuk filem Enjin No 9 yang bakal ditayangkan bermula 29 Mac ini. Kata Shiera, walaupun masih watak sebagai 'Makcik Bawang' namun dia menyifatkan ia peranan menyeronokkan tambahan pula ia filem arahan pertama penerbit kontroversi itu. Selain Shiera, Enjin No 9 turut menampilkan barisan pelakon seperti Tajul Arif, Kazar, Datin Fadilah Mansor, Bila AF, Dottie, Abon dan Ayuni Haris.