suria

Ismail Izzani Minta Tidak Ikut Jejaknya Tapi Dia Sedih Dihina Tiada SPM

Ismail akan buktikan dia boleh berjaya biarpun tidak memiliki SPM. Foto YAP CHEE HONG.

PETALING JAYA: Penyanyi remaja Ismail Izzani berjanji untuk membuktikan bahawa dia juga mampu untuk berjaya biarpun tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, Ismail, 18, berkata, perkara itu dilakukan bukan untuk mendorong sesiapa mengikut jejak langkahnya, namun ia adalah pilihannya sendiri.

"Walaupun tak ambil SPM tapi saya akan buktikan yang saya juga boleh berjaya dengan usaha sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Secara Jujur Ismail Izzani Mengaku Tak Minat Ambil SPM

"Saya nak beritahu itu adalah pilihan saya sendiri bukan berniat untuk ajak orang ramai ikut jejak saya.

Ismail tidak mahu membaca kritikan negatif mengenainya.

"Macam mana pun, saya tetap akan teruskan apa yang saya buat sekarang iaitu muzik," kata Ismail kepada mStar Online.

Ismail diminta mengulas mengenai statusnya di Twitter yang mengatakan tidak perlu menghina orang tidak mempunyai sijil SPM.

Menerusi laporan mStar Online pada 20 Mac lalu, Ismail akui tidak berminat untuk menduduki peperiksaan SPM seperti rakan sebayanya.

Kata penyanyi lagu Sabar itu, dia tidak mahu membaca komen negatif yang boleh membuatkan dirinya berasa sedih.

"Saya dah tak nak baca lagi komen atau kritikan yang negatif sebab kata-kata itu ada memberi kesan kepada kita. Boleh buat kita rasa sedih," ujarnya.

Status yang dimuat naik Ismail.

Dalam pada itu, Ismail turut menyangkal dakwaan dia boleh hidup bersenang-lenang memandangkan keluarganya orang berada.

Malah, dia mendapatkan sumber pendapatan dengan hasil titik peluh sendiri tanpa meminta pada ibu bapanya.

"Kalau saya kaya, saya tak perlu bekerja atau menyanyi lagi. Saya pun cari sumber pendapatan dengan usaha sendiri.

"Bukan meminta duit daripada ibu bapa. Saya selalu berpegang pada prinsip di mana yang senang, bukan selalu senang.

"Yang susah pula, bukan selalu susah. Kita kena ada usaha sendiri untuk dapatkan sesuatu," katanya.

Ismail Izzani

Artikel Lain