suria

“Jauh Sekali Hendak Berdendam” - Didie Alias

Didie Alias tidak menyimpan dendam terhadap penerbit Datuk Rafiena walaupun kes melibatkan mereka sedang dibicara di mahkamah. Foto ART CHEN

PELAKON dan pengacara Didie Alias tidak pernah menganggap penerbit drama, Datuk Rafiena Ezanee Ramli sebagai musuh walaupun kes melibatkan mereka berdua sedang dibicarakan di mahkamah.

Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 44, sebaliknya berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan mahkamah dalam menyelesaikan krisis melibatkan kerja di antara mereka yang sudah berlarutan selama setahun.

"Bukan hendak cari gaduh, jauh sekali hendak berdendam atau bermusuh kerana industri pun bukannya besar mana.

"Apa juga masalah yang berlaku di antara kami biarlah mahkamah sahaja yang putuskan, itu yang sebaiknya," kata Didie.

Kemelut di antara Didie dan Rafiena tecetus selepas penerbit itu memfailkan saman terhadapnya menerusi tiga tuntutan seperti kerugian, sikap tidak bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif serta trauma dan tekanan.

Didie kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Personal Shopper.

Didie ditemui pada sidang media bagi menjelaskan isu tular seorang pengguna jenama alat solekan sebuah produk kosmetik yang mendakwa kulitnya mengalami masalah selepas menggunakan produk tersebut.

Pelakon itu yang bertindak sebagai jurucakap produk tersebut tampil bersama pengasasnya, Dyana Roslan dan Shah Hafiz.

Bercakap lanjut mengenai dakwaan terhadap produk itu, Didie berkata, tindakan individu berkenaan telah mencalarkan kradebiliti syarikat tersebut selain menyebabkan mereka hilang kepercayaan pengguna.

Kata Didie, pihaknya sudah cuba menghubungi individu berkenaan namun dia cuba mengelak berkemungkinan berasa takut akibat kenyataannya sudah menjadi tular di laman sosial.

"Dia mendakwa kulit wajahnya mengalami masalah kulit selepas tiga bulan menggunakannya tetapi sebelum ini dia memuji produk tersebut.

Datuk Rafiena. Foto Instagram @datorafiena

"Kenyataan diberikan juga mengelirukan sehingga timbul salah faham dalam kalangan pengguna sehingga ia mula memberi kesan buruk terhadap jenama ini.

"Dia takut hendak berjumpa dengan kami kerana perkara ini sudah menjadi tular walaupun pihak pengurusan tidak berniat untuk mengambil tindakan dan cuma ingin meminta penjelasannya sahaja," katanya.

Sementara itu, Didie berkata, dia terpanggil untuk membantu pengeluar kosmetik itu bagi membersihkan nama mereka kerana melihat kesungguhan pemiliknya yang bermula dari bawah untuk berjaya.

"Mereka usahawan muda yang saya kenal dari mereka kosong sehingga berjaya sekarang dan apabila perkara ini terjadi saya terpanggil untuk membantu mereka membersihkan nama," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Didie berkata dia baharu sahaja menyelesaikan tiga buah telefilem untuk siaran Aidilfitri nanti selain kini sedang dalam penggambaran drama bersiri arahan Ghaz Abu Bakar, Personal Shopper.

Didie bersama pengasas produk DYXY Cosmetics, Dyana Roslan dan Shah Hafiz.

Selain itu kata Didie, dia juga mula sibuk dengan karnival tahunan LeFest Tour yang bermula di Kuching, Sarawak bermula hujung minggu ini.

"Alhamdulillah tahun ini karier lakonan saya kembali rancak walaupun sedang sibuk dengan LeFest Tour tetapi saya tetap ambil kerana sudah agak lama tak berlakon.

"Insya-Allah hari raya ini semua stesen TV ada wajah saya menerusi tiga buah drama di RTM, TV3 dan Astro.

"Sekarang pun tengah menyiapkan drama bersiri Personal Shopper yang akan menemui penonton tidak lama lagi," katanya.

Didie Alias

Artikel Lain