suria

Zarul Husin Ambil Masa Dua Tahun Keluar ‘Remuk’

Bukan mudah bagi Zarul Husin menghasilkan 'Remuk'. FOTO: SYAZANA ABD SHUKUR

PETALING JAYA: Penyanyi Zarul Husin akhirnya melancarkan single terbaharunya Remuk selepas dua tahun kembali aktif dalam industri muzik tanah air.

Peserta program Gegar Vaganza musim ketiga ini, berkata, dia mengambil masa panjang berikutan mencari lagu yang sesuai dengan suara dan mengikut aliran muzik semasa.

“Alhamdulillah akhirnya keluar juga single baru saya selepas dua tahun. Pada mulanya saya sudah rakam dua buah lagu baru tapi tidak sesuai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Sudah Jangka…” - Zarul Husin

“Lagu pertama terlalu moden dan saya sendiri fikir tidak sesuai dengan saya. Kemudia saya rakam lagi satu lagu tapi pihak sekeliling saya pula kata tidak sedap dan sukar mendapat tempat.

Remuk adalah lagu ketiga yang saya rakam dan setelah mendapat persetujuan banyak pihak barulah saya berani keluarkan,” ujarnya kepada mStar Online.


Memegang lagu Remuk.

Zarul,44, ditemui pada majlis pelancaran single Remuk ciptaan Aepul Roza yang diadakan di Vilaj Damansara, di sini, Selasa.

Menurutnya lagu berkenaan menceritakan tentang kesedihan dan rasa sakit yang dirasai oleh pasangan yang sentiasa dibohongi oleh kekasihnya.

Sementara itu, Zarul berkata, lagu tersebut turut mendapat persetujan isteri dan rakan-rakannya yang tahu tentang muzik.

“Saya tidak mahu syok sendiri jadi saya tanya isteri kerana dia ada pengatahuan sedikit tentang muzik serta beberapa rakan.

“Mereka suka dan beranggapan paling sesuai dengan saya dan peredaran muzik semasa. Alhamdulillah saya juga dapat respon positif daripada peminat dan pihak stesen radio,” ujarnya.

Zarul bersama mereka yang banyak menyokong kerjaya seninya.

Bagaimanpun, penyanyi lagu Ramalanku Benar Belaka ini berkata, dia menyerahkan kepada peminat dan masyarakat untuk peringkat seterusnya.

Dia berharap lagu berkenaan mendapat perhatian dan mampu bersaing dengan lagu-lagu penyanyi lain.

“Saya harap orang terima lagu ini, jika tidak dapat sambutan sekalipun saya akan buat lagu lain.

“Saya tidak akan putus asa dan sentiasa mahu menyanyi selagi diterima,” ujarnya.

Lagu Remuk sudah berada di semua platform digital, manakala lirik video juga sudah boleh ditonton saluran YouTube.

Zarul Husin

Artikel Lain