suria

Suami Ziana Zain, Armin melarikan diri dari pihak media

Armin hanya memberikan senyumannya namun enggan menjawab soalan media. FOTO: Kemalia Othman

SHAH ALAM: Suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin bertindak melarikan diri daripada pihak media selepas selesai prosiding kes pukul anaknya di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Bekas ketua pramugara sebuah syarikat penerbangan itu keluar melalui pintu belakang mahkamah selepas menyedari pihak media sudah siap sedia menunggunya di pintu utama.

Pihak mStar Online bersama media lain turut mengejarnya ke parkir kereta bagi mendapatkan reaksi mengenai rumah tangganya dengan Ziana Zain namun tidak berhasil.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Dera Anak, Saya Ajar Mengaji” - Suami Ziana Zain Didakwa

Sebaliknya dia hanya tersenyum sambil menunjukkan tanda ‘thumb down’ kepada media selepas diajukan soalan tentang rumah tangganya.

Sementara itu, peguamnya yang baharu dilantik Mohamad Rizal meminta anak guamnnya itu diberi sedikit ruang.

“Maaf semua, bagi dia masa,” pintanya.

Rumah tangga Armin, 53, dan Ziana, 50, didakwa berada di hujung tanduk apabila penyanyi Madah Berhelah itu sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 3 April lalu.

Namun, menurut sumber Armin tidak bersetuju untuk melafazkan cerai dan minta kes tersebut dibawa ke jawatan kuasa pendamai.

Peguam pemerhati Ziana Zain, Luqman Mazlan memberitahu, pasangan berkenaan sudah tidak tinggal sebumbung kerana menjalani tempoh jaminan selain tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya

"Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma," jelasnya.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat menangguhkan penyerahan dokumen dakwaan Armin mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh baharu serahan dokumen.

Armin berbaju kemeja putih hadir berseorangan di mahkamah pada pukul 9 pagi.

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Gambar kenangan Armin, Ziana Zain dan anak-anak mereka. FOTO: Intagram Ziana Zain.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lepas.

Pada 8 Mac lalu, mahkamah menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi untuk meminda pertuduhan kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 326A, Armin, 53, boleh dikenakan dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Armin dan Ziana bernikah pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Armin, Ziana Zain

Artikel Lain