suria

Jangan takut banyak dosa tak mahu ke Makkah - Liza Hanim

Liza Hanim dan suami, Shah (Indigo) mengerjakan ibadah umrah pada pertengahan Mac lalu. Foto Instagram @lizahanim79

BARU sahaja pulang mengerjakan ibadah Umrah, penyanyi Liza Hanim menyeru kepada mana-mana individu agar merebut peluang untuk melakukan ibadah di Makkah sekiranya mempunyai peluang berbuat demikian.

Liza atau Haliza Hanim Abdul Halim, 39, berkata, melakukan ibadah di Tanah Suci tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana nikmatnya yang luar biasa.

"Jika ada peluang rebutlah. Hanya Allah sahaja yang tahu nikmatnya berada di sana sampaikan saya sendiri pun tak dapat nak menggambarkan perasaan itu.

"Jangan hanya kerana takut banyak dosa kita tak mahu pergi ke sana. Kalau sudah sampai waktu, jangan tolak pelawaan ke Makkah," katanya.

Berkongsi pengalamannya ke Makkah, Liza berkata dia ke Tanah Suci bersama suami, Mohd Shahrin Mohd Samsudin, ibu mertua dan anak saudaranya.

Liza bersama suami, ibu mertua dan anak saudaranya.

Kata Liza, pemergian mereka sekeluarga bagi menunaikan nazar dibuat ibu mertuanya selepas kesihatannya yang terjejas tahun lalu kembali pulih.

"Sebetulnya sudah lama juga kami merancang untuk ke sana malah saya kali pertama ke Makkah pun ketika berusia 13 tahun.

"Ketika itu masih kecil dan tak banyak perkara yang betul-betul saya fahami dan kali ini Alhamdulillah nikmat itu sampai buat rindu sejak pulang.

"Kebetulan bawa ibu mertua yang bernazar dan syukur semuanya berjalan lancar untuknya menjalankan ibadah dengan sempurna," jelasnya.

Liza bersama suami, Shah (Indigo).

Dalam perkembangan lain, Liza bakal tampil dalam persembahan istimewa bersempena hari ibu, Bersama Bonda Ratuku yang bakal diadakan pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Kata Liza, dia akan menyampaikan lima buah lagu hitnya selain persembahan duet istimewa bersama Safura.

“Acara ini atas tujuan baik iaitu bagi meraikan ibu dan saya sendiri pun teruja kerana sudah lama tak buat persembahan besar seperti ini.

“Paling seronok bergandingan dengan Safura kerana kami muncul pada tahun yang sama dalam industri tetapi tidak pernah berpeluang bekerjasama.

“Apa yang boleh saya janjikan persembahan itu nanti akan menjadi yang sangat istimewa,” ujarnya.

Liza Hanim

Artikel Lain