suria

Azrel Ismail buat sesuatu nak jadi tular

Azrel akui kuasa viral mampu menaikkan nama. Foto: AZLINA BT ABDULLAH.

PELAKON Azrel Ismail mengakui ada membuat perancangan untuk melakukan sesuatu yang boleh menjadikannya tular di laman sosial.

Azrel, 34, berkata dia menyedari kuasa viral di laman sosial mampu menaikkan namanya namun ia bergantung kepada berita sama ada ia baik atau buruk.

"Ada orang nasihat saya untuk melakukan sesuatu yang boleh jadikan diri saya viral. Pernah juga terfikir nak kontroversi apa yang sesuai.

"Memang tidak dinafikan apabila viral di laman sosial boleh membuatkan orang lagi mengenali kita. Tapi kalau benda itu perkara yang buruk, orang akan kecam.

"Kalau nak viral, saya akan buat sesuatu yang baiklah tapi kena fikir risiko selepas itu juga," kata Azrel kepada mStar Online.


Azrel rancangan sesuatu untuk dia menjadi viral.

Azrel ditemui ketika sesi fotografi calon-calon Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) di Sri Pentas, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sebelum ini, Azrel pernah dikecam selepas memuat naik video parodi menari bersama pelakon Zoey Rahman, Emma Maembong dan Dayang Areeda ketika kontroversi pelakon Neelofa di sebuah kelab malam menjadi bualan hangat.

Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan untuk tidak melayan kecaman tersebut dan hanya membiarkan sahaja netizen memenuhi ruang komen.

"Saya pernah buat video parodi menari dengan rakan-rakan dan meletakkan hashtag Zouk. Video itu sekadar guraun sahaja.

"Tak sangka tiba-tiba ruang komen penuh dengan kecaman daripada netizen. Mula-mula baca komen mereka itu, saya takut juga la.

Azrel pernah dikecam gara-gara video parodi.

"Tapi apabila fikir semula, lebih baik tak payah layan. Saya hanya padam dan sekat akaun yang mengeluarkan kata-kata tidak elok," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Menantu Ting Tong ini teruja apabila sekali lagi tercalon dalam tiga kategori Anugerah DFKL 2018 yang akan diadakan pada 13 Mei depan.

Menurutnya, menjalinkan hubungan baik dengan peminat merupakan salah satu kekuatan untuk memenangi anugerah tersebut.

"Anugerah itu merupakan seratus peratus undian daripada peminat. Alhamdulillah, ini kali kedua saya tercalon tapi tahun lepas saya hanya berjaya sampai top 5 sahaja.

"Bagi saya, untuk menang kena ada kelab peminat yang kuat. Sebab mereka yang membantu untuk undi nama kita.

Azrel Ismail.

"Saya memang selalu berinteraksi dengan peminat. Insya-Allah tahun ini kami akan berusaha lagi. Kena bekerjasama dengan mereka," katanya. 

Azrel tercalon dalam kategori Aktor Pilihan, Pasangan Pilihan bersama Zahirah MacWilson dan Drama Pilihan menerusi drama Cucu Tauke Beras.

Anugerah DFKL 2018 mempertandingkan 11 kategori iaitu Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulisan Skrip Pilihan, Lagu/OST Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan dan Drama Pilihan tonton VIP, yang ditentukan oleh jumlah undian diterima.

Manakala, Drama Radio Pilihan dan Drama Pendek Pilihan merupakan kategori khas pilihan juri.

Malam kemuncak anugerah yang meraikan penggiat seni itu akan diadakan pada 13 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Azrel Ismail

Artikel Lain