PENYANYI dan komposer Hael Husaini memberitahu dia merisik Dayang Nurfaizah untuk menjadi rakan duetnya menerusi lagu Haram ketika mereka menjayakan persembahan pentas di sebuah pusat beli-belah pada akhir tahun lalu. Hael berkata, ketika itu Dayang menunjukkan minat untuk berkolaborasi namun meminta dia menangguhkan hasratnya memandangkan masing-masing perlu membuat persediaan Anugerah Juara Lagu ke-32 yang berlangsung pada Februari lalu. “Jujurnya saya menghasilkan Haram dengan bayangan dalam kepala saya yang Dayang Nurfaizah akan menyanyi bersama saya. “Sejurus selepas AJL berakhir saya terus menghubungi Dayang untuk mengingati janjinya untuk berduet dengan saya dan Alhamdulillah impian itu tercapai,” katanya. Semoga kolaborasi pasangan ini menerusi lagu 'Haram' akan berhasil. Hael dan Dayang ditemui pada sidang media pelancaran single dan muzik video Haram yang diadakan pada petang Jumaat. Dalam pada itu, Hael mendedahkan dia mahukan Dayang sebagai rakan duet bukan sahaja kerana mengagumi vokalnya malah penyanyi berasal dari Sarawak itu adalah ‘celebrity crush’ diminatinya sejak kecil. “Saya masih ingat kira-kira 12 tahun lalu saya sanggup ke Planet Hollywood menonton persembahan Dayang kerana terlalu meminati dan mengaguminya. “Apa yang menarik ketika itu saya yang duduk di tepi tangga di sapa oleh Dayang sendiri yang bertanya mengapa saya duduk di situ dan bukannya berada di ruang utama. “Perasaan minat dan kagum itu semakin menebal semenjak itu kerana dia seorang yang sangat merendah diri dan kolaborasi dengannya seperti mimpi menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, Dayang berkata, dia tidak terus bersetuju dengan pelawaan Hael sebaliknya hanya membuat keputusan selepas mendengar lagu dan kesesuaian vokal mereka sebagai pasangan duet. “Saya suka dengan suara dan lagu dihasilkan Hael tetapi untuk berduet ia adalah lebih daripada sekadar suka. “Kerana untuk berduet kita kena ada keserasian dari segi vokal dan saya juga perlu meneliti sama ada saya mampu membawa lagu tersebut atau pun tidak. “Alhamdulillah hasil akhirnya sangat baik dan saya suka dengan melodi Haram yang mudah diingati selain vokal kami serasi bersama,” katanya.