suria

Jangan ingat Mawar Rashid orang senang, jual bedak tampung hidup

Mawar mula bekerja pada usianya 15 tahun untuk menampung perbelanjaan di sekolah bagi meringkan bebanan ibunya. Foto Instagram: @mawarrashid.

PELAKON Mawar Rashid mendedahkan dia pernah menjalani kehidupan yang paling sukar dan mula bekerja pada usia 15 tahun.

Mawar, 23, berkata dia dapat menampung perbelanjaan sekolah daripada hasil menjual bedak muka selain menjadi pelakon tambahan.

Malah pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid ini turut memberikan sedikit wang yang diperoleh kepada ibunya.

"Saya dan keluarga pernah menjalani kehidupan paling susah. Dari umur saya 15 tahun dah mula mencari duit untuk tanggung diri sendiri demi meringankan beban ibu.

Antara pengkongsian Nisha mengenai kehidupan Mawar.

"Hasil jualan bedak-bedak dan menjadi pelakon tambahan, saya dapatlah juga menampung duit belanja untuk ke sekolah.

"Syukur Alhamdulillah sejak zaman sekolah lagi saya mula beri duit kepada ibu walaupun waktu itu tidak banyak tapi rasa gembira dapat balas jasa dia," kata Mawar kepada mStar Online.

Mawar berkongsi mengenai kehidupannya terdahulu selepas seorang Instafamous, Nisha Ezzati menceritakan kisah Mawar di laman Twitter dan menjadi tular.

Tambah Mawar, dia bersyukur atas didikan yang sempurna daripada ibunya dapat membentuk hati yang mulia dan belajar untuk berdikari.

Mawar mahu memberi kesenangan kepada ibunya.

"Alhamdulillah, ibu memberi didikan yang sempurna sehingga dapat membentuk hati yang mulia. Saya bangga dengan adik-beradik yang memiliki ciri-ciri seperti ibu.

"Ibu selalu berpesan, kasih sayang dalam keluarga itu amat penting selain memiliki hati yang bersih dan menghormati org lain juga antara sifat yang ditekankan dari dulu.

"Walaupun dalam apa jua keadaan hidup kami, tetap bahagia bersama keluarga yang tersayang," ujarnya.

Mawar bahagia disamping suami tercinta, Raf Yaakob.

Dalam pada itu, pelakon drama Kalis Kasih ini tidak menyangka kisah kehidupannya tular dan menjadi motivasi kepada ramai orang untuk bekerja keras demi keluarga.

"Sejujurnya tak tahu boleh jadi tular kisah saya itu. Tetapi saya bersyukur jika pengalaman hidup dapat memberikan kesan positif kepada orang.

"Selain terus menjadi motivasi kepada orang di luar sana untuk bekerja keras demi membantu keluarga," katanya.

Mawar Rashid

Artikel Lain