PELAKON Hafreez Adam menegaskan hubungan cintanya dengan aktres Zara Zya bukanlah sekadar gimik untuk melariskan drama lakonan mereka, Mona Lisa. Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 28, berkata dia tidak pernah mencipta gosip cinta atau kontroversi sejak mula menceburi bidang seni. "Kalau fikir secara logik, saya dah empat tahun lebih dalam industri dan dah berlakon dengan ramai pelakon wanita. "Tapi sepanjang itu tak pernah lagi saya terpalit dengan gosip cinta atau kontroversi hanya untuk lariskan drama. "Hubungan saya dengan Zara sememangnya betul dan bukan sekadar nak promosi drama semata-mata," kata Hafreez kepada mStar Online. Hafreez terpikat dengan perangai manja Zara. Hafreez diminta mengulas mengenai persoalan netizen yang menganggap kisah percintaannya dan pelakon wanita itu hanya gimik drama sahaja. Tambah Hafreez lagi, dia tidak perlu mencipta gimik dan menumpang populariti pelakon drama bersiri Tuan Anas Mikail itu. "Soal jodoh ini kita tak tahu. Apa yang jadi selepas ini pun saya tak boleh jangka. Yang pasti saya bukan nak cari populariti atau menumpang siapa-siapa. "Kalau betul, macam mana pula dulu saya boleh menang Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2014?" ujarnya. Pelakon drama bersiri Gantung ini mula rapat dengan Zara di set penggambaran drama Mona Lisa sejak tujuh bulan lalu. Pasangan ini mahu mengambil masa untuk mengenali hati budi sebelum membawa hubungan ke peringkat seterusnya. Dalam pada itu, dia berkongsi kisah cintanya itu disebabkan ingin bersikap jujur tanpa perlu menipu peminatnya. "Saya seorang yang tertutup apabila membabitkan soal peribadi. Tapi apabila orang dah tanya, saya jujur sahaja. "Tak nak menipu benda yang dah orang nampak. Lagi-lagi saya tak nak tipu peminat yang selama ini dah banyak menyokong saya. "Alhamdulillah, sejak saya beritahu mengenai hubungan dengan Zara, banyak menerima komen yang positif dan peminat doakan yang baik-baik untuk kami," katanya.