PELAKON dan pengacara Henry Golding menjadi rakyat Malaysia yang pertama membuat kemunculan dalam program bual bicara popular Amerika Syarikat, The Ellen DeGeneres Show pada Isnin. Henry, 31, dijemput ke program dikendalikan oleh pengacara terkenal Ellen DeGeneres itu bagi mempromosikan filem pertamanya yang berjudul Crazy Rich Asians. Turut bersama Henry pada temu bual itu adalah heroin filem tersebut aktres Constance Wu. Henry memberitahu Ellen dia teruja dijemput sebagai tetamu program itu kerana itu adalah program temu bual pertamanya di Amerika Syarikat. "Ini adalah program temu bual saya yang pertama dan ia pengalaman 'gila'. Henry muncul dalam program The Ellen Degeners Show bersama Constance Wu. "Ini adalah filem pertama saya kerana latar belakang saya lebih kepada bidang penyiaran seperti melakukan program jelajah untuk BBC dan Discovery Channel," katanya sebagai memperkenalkan dirinya kepada penonton. Ditanya mengenai asal usulnya, Henry dengan bangga memberitahu Ellen dia adalah daripada suku kaum Iban dan berasal dari Malaysia. "Saya orang Iban... Saya separuh Malaysia dan British. Ibu saya dari Sarawak," katanya. Dalam pada itu, Ellen turut menunjukkan beberapa gambar Henry yang diambil daripada Instagramnya untuk ditunjukkan kepada penonton di studio bagi memperkenalkannya kepada mereka. Henry mendapat sorakan penonton apabila Ellen memaparkan gambarnya yang tidak berbaju dan menampakkan tubuhnya yang berotot. Henry Golding. Sementara itu, Constance turut memuji Henry sebagai seorang pelakon semula jadi dan penonton akan jatuh cinta dengannya apabila menonton Crazy Rich Asians. "Dia seorang yang sangat natural dan anda akan jatuh cinta dengannya selepas dua saat anda menontonnya dalam filem itu nanti," katanya. Crazy Rich Asians arahan Jon M Chu bakal menemui penonton pada 17 Ogos depan. Dalam perkembangan lain, tuah Henry semakin bersinar di Hollywood apabila dilamar oleh pengarah Hong Khaou untuk berlakon dalam filem berjudul Monsoon. Selain itu, filem keduanya, A Simple Favor arahan Paul Feig akan berada di pawagam pada 14 September depan yang menggandingkannya dengan aktres terkenal Blake Lively dan Anna Kendrick. Henry sebelum ini mencipta nama sebagai pengacara menerusi beberapa program seperti 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia).