suria

Instagram jadi tempat Zizan buat lawak lepas rindu peminat

SEJAK kebelakangan ini Zizan Razak dilihat lebih memberi tumpuan kepada watak serius dalam projek lakonan dan seolah-olah melupakan bidang komedi yang mengangkat namanya.

Kemenangannya menerusi kategori Artis Komedi MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) baru-baru ini juga memberi gambaran jelas peminat masih mahukan Zizan terus beraksi sebagai pelawak.

Zizan bagaimanapun berkata, dia tidak pernah melupakan komedi namun perhatiannya lebih kepada perkara lain ketika ini kerana ingin menerokai genre berbeza dalam lakonan agar peminat tidak berasa bosan dengan lakonannya.

Peminat menyambut ulangtahun kelahiran Zizan ke-34 baru-baru ini.

"Komedi sentiasa menjadi keutamaan saya cuma ketika ini saya ingin cuba perkara lain dan menunjukkan sisi lain diri saya sebagai pelakon.

"Banyak lagi watak yang ingin saya terokai dan bukannya hanya tertumpu kepada komedi sahaja kerana bimbang peminat akan mula bosan.

"Alhamdulillah beberapa filem yang saya bawa watak serius diterima baik peminat dan penonton," katanya.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia mempunyai cara lain untuk menjentik emosi peminatnya dengan menggunakan Instagram sebagai medium dia membuat lawak.

Zizan dan Sam bakal muncul dengan filem Polis Evo 2.

"Saya gunakan Instagram untuk buat lawak menerusi video pendek atau kapsyen pada gambar yang dimuat naik.

"Pada saya cara itu sebenarnya lebih mendekatkan saya dengan peminat kerana saya menggunakan Instagram peribadi saya untuk menghiburkan peminat.

"Di samping itu juga dapatlah saya berinteraksi dengan mereka terutamanya menerusi video secara langsung dengan peminat," jelasnya.

Zizan Razak

Artikel Lain