suria

Tiada tawaran... duit simpanan Puteri Aishah habis

Puteri Aishah kini muncul dalam filem 'Pulang'. FOTO: Azman Ghani

PELAKON puteri Aishah berkata duit simpanannya sudah habis gara-gara enam bulan tidak menerima tawaran berlakon.

Puteri atau nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman, 24, berkata, pada mulanya dia berehat seketika iaitu pada Oktober tahun lalu untuk menjaga ibunya yang sakit selepas menjalani pembedahan buang rahim kerana menghidap kanser ovari tahap empat.

“Pada mulanya saya ingin berehat sebulan sahaja untuk fokus ibu saya yang menjalani pembedahan buang rahim Oktober lalu.

“Tapi dari bulan Julai sampai hujung tahun lalu tiada tawaran langsung. Mulanya risau juga sebab duit simpanan sudah hampir habis,” ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Puteri ditemui pada pelancaran novel Pulang yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Novel yang diadaptasi daripada filem itu turut dibintangi oleh pelakon popular Remy Ishak.

Remy Ishak dan Puteri Aishah bergandingan dalam Pulang.

Puteri berkata, dia bersyukur apabila menerima kembali tawaran membintangi beberapa drama tempatan bermula Januari sehinggalah bulan September depan.

Dia juga dilantik menjadi duta kempen raya TV3 bagi menjayakan beberapa promosi sekitar Ramadan dan Syawal akan datang.

“Alhamdulillah, masuk Januari sudah ada tawaran drama dan sekarang jadual sudah penuh semula.

“Ibu saya juga risau saya di rumah sahaja sehingga tanya kenapa saya tidak kerja,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kesihatan ibunya, Puteri berkata, dia bersyukur pembedahan Oktober tahun lalu berjalan lancar.

Ibunya yang menunjukan perkembangan positif.

"Alhamdulillah kesihatan dia semakin baik selepas pembedahan tersebut berjaya,” ujarnya.

Antara yang terlibat dalam pelancaran novel Pulang. Kelihatan Ahmad Izham Omar (tiga dari kiri). FOTO: Azman Ghani.

Puteri berkata, dia sendiri menjaga kesihatan dengan bersenam setiap hari bagi mencegah daripada terkena sebarang penyakit.

“Saya bersenam setiap hari bukan sebab ingin kurus atau cantik tapi mahu kesihatan yang baik. Doktor sendiri menasihatkan agar kami adik beradik jaga kesihatan.

“Kita cuma mencegah kerana penyakit kanser boleh disebabkan dari keturunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang filem Pulang, Puteri berkata, ia merupakan filem pertamanya sejak menceburi bidang seni.

Ia merupakan inspirasi daripada kisah hidup sebenar Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studio, Datuk Ahmad Izham Omar.

Filem yang bakal ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri depan diarahkan oleh Khabir Bhatia.

Puteri Aishah

Artikel Lain