PENYANYI Nita Hamzah menjelaskan baju yang dipakai ketika majlis pernikahannya pada Ahad lalu tidak seksi seperti mana diperkatakan di sebuah blog hiburan. Nita berkata, dia masih mampu berfikir dengan waras untuk memilih pakaian sesuai pada upacara akad nikah tersebut. "Saya memang seorang yang berfikiran terbuka tapi saya masih boleh berfikir mana elok atau tidak. Tak mungkin saya pakai baju seksi ketika akad nikah. "Baju yang dikatakan itu berbelah di bahagian dada itu mempunyai lapik, mungkin mereka sangka ia seperti kulit saya," ujarnya kepada mStar Online. Nita bersama suaminya Fareez. Nita berang apabila sebuah blog hiburan mengecam pakaiannya yang dikatakan seksi dan tidak menghormati majlis tersebut. Pemilik nama penuh Norhanita Hamzah itu bergelar isteri kepada Fareez, 30, dengan sekali lafaz pada pukul 11.45 pagi Ahad. Pemenang tempat kedua program realiti Malaysian Idol musim kedua itu menerima mas kahwin berjumlah RM300 dan wang hantaran RM10,000. Nita turut memberikan sembilan dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak Fareez. Sementara itu, Nita berkata, dia meminta netizen yang ingin menegur pemakaiannya agar memberi mesej secara peribadi berbanding menulis secara terbuka di ruangan komen. Perkara itu, dirasakan bukan sahaja membuka aib, malah menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Nita bergelar isteri Fareez dengan sekali lafaz. "Kalau niat untuk menegur lebih baik beri mesej peribadi kepada saya bukan komen secara terbuka begitu. "Ia bukan sahaja buka aib tapi beri peluang untuk dapat dosa dan mengundang perbalahan dengan pengikut saya pula," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nita bersyukur apabila hubungan yang dibina selama empat tahun dengan Fareez akhirnya membawa ke alam rumah tangga. Katanya, dia dan suami merancang untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat sebagai pelengkap rumah tangga mereka. "Dalam tempoh empat tahun sudah empat kali putus tapi ada kuat jodoh kami. Perancangan anak biarlah Allah tentukan kalau boleh kami nak cepat-cepat dapat anak," ujarnya. Majlis bertandang bagi pihak lelaki akan berlangsung pada Ogos depan di Klang.