DUA wartawan hiburan diberi kepercayaan untuk memegang watak pembantu dalam drama bersiri terbitan syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd iaitu Air Mata Syurga. Penerbit drama dan filem, Datuk Rafiena Ezanee Ramli memberitahu beliau bertindak berani mengambil wartawan sebagai pelakon kerana ingin menampilkan kelainan menerusi drama yang turut menampilkan barisan pelakon mantap seperti Tasha Shila, Haliza Misbun, Afiq Muiz dan Elly Suriati itu. Jelas Rafiena, 35, lagi, dua wartawan berkenaan Syarrizuan Abdul Rashid dari Berita Harian dan Deegun Rahman (Utusan Malaysia) mempunyai personaliti dan karakter menarik yang sesuai dengan peranan diberikan kepada mereka. Barisan pelakon utama Air Mata Syurga. "Sebenarnya saya sudah mengenali dua wartawan ini dan apabila saya muncul dengan idea drama ini memang saya telah membayangkan untuk mengambil mereka berlakon. "Bagaimanapun keputusan itu bukan kerana saya berkawan dengan mereka tetapi personaliti dan karakter mereka membuatkan saya tertarik. "Alhamdulillah seperti saya jangka mereka mempunyai bakat sebagai pelakon dan menzahirkan watak diberikan dengan cukup baik," katanya. Rafiena ditemui pada majlis pelancaran drama Air Mata Syurga yang diadakan pada Sabtu. Tasha Shila. Drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu akan bersiaran bermula 7 Mei ini setiap hari Isnin dan Selasa, 9 malam menerusi saluran HyppSensasi (116), Unifi TV. Bercakap lanjut mengenai drama bersiri itu, Rafiena berkata, drama 30 episod itu masih mengekalkan mengangkat kisah berat dan menyayat hati dengan elemen kejutan yang akan menarik perhatian penonton. Kata Rafiena, dia juga sanggup mengeluarkan kos untuk menjalani penggambaran di Perth, Australia bagi memberikan tambah nilai kepada Air Mata Syurga. "Darkwave Pictures Sdn Bhd memang terkenal dengan kisah yang berat dan Air Mata Syurga tidak ketinggalan tambahan pula dengan skrip hebat daripada Ayuni Zamani dan arahan Raja Ahmad membuatkan ia bertambah istimewa. Penerbita Air Mata Syurga, Datuk Rafiena. "Besar harapan kami drama ini dapat diterima baik penonton apabila ia ditayangkan nanti kerana barisan pelakonnya juga cukup mantap," katanya. Dalam perkembangan lain, Rafiena berkata, beliau juga sedang dalam rangka pra-produksi sekual drama popular Syurgaku Tak Sempurna 2 tidak lama lagi.