suria

Nabil sekali lagi ke Makkah 10 akhir Ramadan

Nabil bakal berangkat ke Makkah pada 7 hingga 14 Jun depan.

PELAWAK dan pengacara Nabil Ahmad memberitahu bakal berangkat ke Makkah untuk mengerjakan ibadah Umrah buat kali keempat berturut-turut bermula 7 hingga 14 Jun depan.

Nabil, 34, berkata, dia bertuah kerana masih diberi izin oleh Allah kerana dapat melakukan ibadah itu pada 10 malam terakhir Ramadan.

"Seperti mana tahun sebelumnya, saya akan ke Makkah untuk buat Umrah pada 10 malam terakhir Ramadan.

"Alhamdulillah Allah murah dan permudahkan rezeki saya untuk sekali lagi buat Umrah dan saya memang sentiasa ternanti-nanti untuk kembali ke sana.

Nabil akan menyelesaikan semua tugasnya sebelum ke Makkah.

"Setiap kali pulang perasaan rindu itu semakin menebal dan saya akan ambil peluang ini untuk beribadat dan memperbaiki diri," katanya kepada mStar Online.

Pengacara program MeleTOP itu ditemui pada majlis pelancaran wajah kempen Jakel Barulah Raya pada Sabtu.

Antara selebriti lain yang turut dilantik sebagai wajah kempen tersebut ialah Ayda Jebat, Aaron Aziz, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Hanis Zalikha, Hairul Azreen dan Upin Ipin.

Nabil berkata, dia akan ke Tanah Suci ditemani oleh isterinya, Nazirah Ayub.

Nabil tampil dengan koleksi baju Melayu bersama Jakel.

Dalam pada itu, Nabil berkata, seperti mana tahun-tahun sebelum ini, dia akan memastikan semua tanggungjawabnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum berangkat ke Makkah.

Kata Nabil lagi, dia juga masih belum bersedia untuk membawa dua anak perempuannya kerana merasakan mereka masih kecil.

"Hajat hati memang nak bawa anak-anak tetapi mengenangkan mereka masih kecil jadi rasanya biarlah dahulu.

"Sekarang pun saya sibuk menyelesaikan baki rakaman program dan kerja-kerja lain sebelum ke Makkah kerana tidak mahu fikir soal kerja apabila di sana nanti," ujarnya.

Barisan artis yang dipilih sebagi wajah kempen Jakle Barulah Raya!

Bercakap mengenai kolaborasinya dengan Jakel, Nabil berkata, baju Melayu menggunakan namanya masih mengekalkan konsep temporari namun menekankan kekemasan pada bahagian leher dan poket termasuk potongan slim fit.

Malah katanya, tahun ini baju Melayu tersebut hadir dengan sampin tenun benang sebagai pelengkap gaya.

“Keistimewaan bekerjasama dengan Jakel kerana kami tidak sekadar menyarung pakaiannya tetapi diberikan peluang memilih fabrik yang kami suka selain berkongsi idea untuk menghasilkan setiap rekaan.

"Tahun ini saya masih kekal dengan konsep seperti tahun-tahun lalu tetapi menukar kepada sampin tenun benang yang lebih selesa dan mudah dipakai," ujarnya.

Nabil Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain