VOKALIS kumpulan EYE iaitu Ezam menyifatkan penyertaannya menerusi program Gema Gegar Vaganza musim pertama (GGV) tahun lalu adalah sebagai kesilapan besar. Ezam atau Mohd Izam Arshad, 50, berkata, keputusannya menyertai program itu sekadar untuk mencukupkan korum dan ia telah menjatuhkan imejnya sebagai penyanyi. "Sejak awal lagi saya hairan juga mengapa tiada uji bakat dilakukan dan saya diserap masuk terus dalam program itu rupa-rupanya saya hanya pelengkap. "Minggu kedua persembahan hati saya sudah tawar dengan GGV dan tidak kisah sekiranya tersingkir kerana jelas komen diberikan juga tidak adil dan cuba menjatuhkan imej saya. Izam ketika membuat persembahan dalam Gema Gegar Vaganza musim pertama tahun lalu. "Pada minggu ketiga pertandingan memang hati saya sakit sangat dan langsung tiada hati untuk menyanyi dan lega apabila tersingkir," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Ezam berkata, GGV tidak memberikan impak terhadap kariernya selepas dia tersingkir selain kehidupannya berjalan seperti biasa seperti mana sebelum menyertai program itu. Sebaliknya kata Ezam, kariernya mula memberikan impak sejak bulan lalu apabila video persembahannya di Kuantan, Pahang menjadi tular sehingga mendapat tiga juta tontonan di laman sosial. "GGV tidak beri impak kuat kepada karier saya malah ia menjatuhkan imej saya dan nama saya hanya kembali tular selepas video persembahan saya tular di laman sosial. "Memang tidak sangka video tersebut mendapat tontonan 3 juta dan ia petanda baik untuk karier saya," katanya. Dalam perkembangan lain, Ezam berkata, dia bersama EYE sedang dalam proses menghasilkan lagu terbaharu yang mengetengahkan konsep ketuhanan. Selain itu, mereka juga akan mengadakan konsert reunion selepas ia mendapat permintaan tinggi peminat.