suria

Pelawak veteran, Wazata Zain hidap strok ringan

Wazata Zain (kanan) menerima kunjungan DJ Dave.

PETALING JAYA: Pelawak veteran, Datuk Wazata Zain dimasukkan ke hospital Selayang sejak dua hari lalu kerana mengalami tekanan darah rendah dan menghidap strok ringan.

Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, berkata, pihaknya meluangkan masa hampir 45 minit melawat Wazata di Hospital Selayang, pada Rabu.

"Sewaktu menziarahi Wazata, pihak YA1M menyumbangkan wang tunai sebanyak RM2,000 untuk meringankan beban pelawak berusia 79 tahun itu.

"Dia mula dimasukkan ke hospital pada 21 Mei lalu. Alhamdulillah, keadaan kesihatannya semakin bertambah baik," ujar DJ Dave sewaktu dihubungi mStar Online.

Menurut DJ Dave, walaupun Wazata baru sahaja kehilangan isteri, iaitu Salbiah Abd. Ghani lebih kurang 50 hari lalu, keceriaan dan sisi kelakar dalam dirinya tidak sedikit pun pudar.

Wazata Zain (kanan) bersama DJ Dave di Hospital Selayang.

Malah, dia sangat ceria dan sempat berseloroh mengenai kisah-kisah lama.

"Kami sama-sama berasal dari Tanjung Malim, Perak dan mula kenal dari zaman sekolah lagi.

"Walaupun tidak sihat, dia sangat ceria bercerita kisah-kisah lama. InsyaAllah kalau tiada apa-apa, dia akan dibenarkan pulang sehari dua lagi," ujar DJ Dave.

Pada era 80-an, Wazata merupakan pengendali watak Cumi & Ciki siaran RTM yang begitu popular dalam kalangan penonton di negara ini.

Bapa kepada tujuh anak itu menggunakan kebolehan ventriloksis iaitu kaedah menghasilkan suara tanpa menggerakkan bibir menerusi persembahan menggunakan boneka.

Sementara itu, DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah berkata, pihak YA1M setakat ini sudah membantu lebih 1,000 artis di seluruh negara sejak lima tahun lalu.

Wazata Zain, DJ Dave

Artikel Lain