suria

Mawar Rashid, Raf berpuasa 18 jam

Bulan Ramadan pertama Mawar bersama suami di Moscow dan London. Foto Instagram: @mawarashid.

PELAKON Mawar Rashid meluahkan rasa teruja dapat menjalani ibadah puasa bersama suaminya, Raf Yaakob di Moscow, Rusia dan London.

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 23, berkata dia dan suaminya berpuasa di London selama seminggu kerana urusan kerja.

"Berpuasa di London bukanlah satu pengalaman baharu bagi saya sebab bulan Ramadan tahun lalu saya berada di sini juga.

"Seronoknya kali ini sebab saya dapat berpuasa bersama suami. Hari pertama hingga ketiga puasa, saya dan suami di Moscow untuk penggambaran program TV.

Anak sulung Raf, Raden Ahmad Rayyan turut ikut bercuti di London.

"Hari keempat puasa pula, kami terbang ke London pula selama seminggu sehingga 26 Mei ini," kata Mawar dari London ketika dihubungi dari mStar Online.

Tambah Mawar, antara cabaran berpuasa di luar negara apabila dia perlu menahan lapar dan dahaga selama 18 jam selain keadaan cuaca yang kering.

Kata pelakon drama bersiri Kalis Kasih ini, waktu sahur di London ialah pada pukul 2.30 pagi.

"Sebenarnya berpuasa di sini agak mencabar sebab menahan lapar selama 18 jam. Saya bersahur pada pukul 2.30 pagi.

"Tambahan pula, dekat sini kami banyak berjalan dengan keadaan cuaca kering. Paling terasa sebab kehausan," ujarnya.

Percutian pasangan ini turut disertai keluarga Raf dan penyanyi Imran Ajmain.

Dalam pada itu, Mawar akan mula menjalani penggambaran drama Pencuri Cinta Kelas Satu sebaik sahaja pulang ke Malaysia.

Menurut Mawar, dia tidak sabar untuk mula penggambaran kerana suaminya turut berlakon di dalam drama yang sama.

"Balik Malaysia, saya terus mula masuk set penggambaran drama baharu. Tak sabar saya nak jalani penggambaran.

"Sebab drama itu adalah drama pertama saya dan suami berlakon bersama. Kami akan menjalani penggambaran selama sebulan," ujarnya.

Drama tersebut diterajui oleh Emma Maembong dan Hafreez Adam dan akan ditayangkan di saluran Astro Oasis tidak lama lagi.

Mawar Rashid, Raf Yaakob

Artikel Lain