suria

“Buat apa nak marah, ada juga publisiti” - Siti Chubby

Siti Chubby melihat kontroversi yang terpaksa dihadapinya turut memberi hikmah dan kebaikkan kepada karier seninya. Foto AZHAR ARIF

PEMILIK nama Siti Chubby pernah hangat diperkatakan apabila dia dituduh mencuri dan mempergunakan seorang rakannya ketika berada di Melbourne, Australia tiga tahun lalu.

Siti atau Norfaridah Samsudin, 37, berkata, kontroversi itu sebenarnya telah banyak memperkenalkannya sebagai pelakon dan pelawak dalam kalangan peminat yang tidak mengenalinya sebelum ini.

"Satu sahaja saya nak kata, kalau betul saya mencuri mungkin saya tak balik dah sebab masuk penjara!

"Ia mungkin cerita tidak baik tetapi buat apa saya hendak marah, ada juga publisiti. Dari orang tak kenal, mereka kenal saya.

"Lagi pun saya ni artis suam-suam kuku sahaja jadi oklah ada kontroversi... orang kenal," katanya kepada mStar Online.

Pengalaman lalu banyak mengajarnya agar lebih berhati-hati.

Menceritakan situasi sebenar dia ke Australia, Siti berkata, pada mulanya dia ingin menyambung pengajian di peringkat A Level selain belajar bahasa Inggeris.

Malah dia sudah mendapat tawaran daripada sebuah akademi sekitar tahun lalu namun tawaran diterima ketika dia pulang semula ke Malaysia.

Namun hasrat untuk pergi semula terpaksa dilupakan selepas ibunya meninggal dunia.

"Orang kata saya pergi petik buah, menipu orang tetapi secara logiknya buah apa yang ingin saya petik pada musim sejuk?

"Saya ke sana ada impian iaitu ingin sambung belajar, konon-kononnya nak belajar bahasa Inggeris dan tak sangka tahun lalu permohonan saya untuk buat A Level diterima.

Siti bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan semakin murah.

"Tetapi keadaan ibu yang tidak sihat dan akhirnya meninggal dunia menghalang saya pergi kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga di sini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Siti berkata, dia sedang menjalani penggambaran drama 28 episod berjudul Cinta Bukan Kristal untuk slot akasia di TV3.

Selain itu, Siti juga bakal muncul dalam drama bersiri Syurga Kedua di Astro Prima.

Sebelum ini, Siti pernah membintangi beberapa buah filem seperti Janda-Jandaku Gengster, Adnan Sempit 3, Kisah Paling Gangster, Seram Sejuk, Sumpahan Kum-kum dan Hantu Dalam Botol Kicap.

Wataknya yang paling diingati adalah sebagai Eton Gebu dalam filem Cun lakonan Maya Karin.

Siti Chubby

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain