suria

“Tak sampai nak pasang bodyguard”- Azhan Rani

Azhan Rani gembira dapat sampaikan watak ustaz Hamadi.

PELAKON Azhan Rani memberitahu kemarahan orang ramai terhadap watakknya sebagai Ustaz Hamadi dalam drama Nur hanya sekadar penzahiran emosi penonton.

Bagaimanapun, Azhan, 42,  berkata, perkara itu tidaklah terlalu serius sehingga membahayakan keselamatannya ketika berada di luar.

"Saya baca reaksi penonton yang betul-betul marah dengan ustaz Hamadi, ada yang nak pecahkan televisyen, nak tampar dan macam-macamlah.

"Tapi ia hanya kepada watak ustaz itu sahaja, tidaklah saya kena ugut atau terpaksa pakai bodyguard. Mereka tetap tegur saya dengan baik dan beritahu benci dengan watak itu," ujarnya kepada mStar Online, pada Ahad.

Pelakon tersebut mengulas reaksi dan kemarahan penonton terhadap watak Ustaz Hamadi yang melanggan pelacur dalam drama bersiri itu.

Karya yang mengisahkan seorang ustaz bertemu pelacur menjadikan jalan ceritanya berbeza berbanding drama-drama lain khususnya bagi tayangan pada bulan Ramadan.

Namun, ada segelintir netizen menganggap ia menjatuhkan maruah golongan ustaz apabila watak Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani itu menampilkannya sebagai orang munafik.

Dalam pada itu, Azhan berkata, kemarahan masyarakat terhadap watak itu memberi makna yang baik terhadap lakonannya.

Katanya, dia lega tanggungjawab terhadap watak itu dapat disampaikan sebaik mungkin.

"Saya seronok bila baca ramai yang benci dan marah pada watak saya itu. Ia seperti satu tanggungjawab sebagai pelakon selesai," katanya.

Sementara itu, Azhan berkata, jalan cerita yang dibuat oleh pengarahnya Shahrul Ezad itu mempunyai kritikan sosial tersendiri.

Azhan Rani bersama pelakon-pelakon drama Nur.

Malah katanya, perkara yang berlaku itu ada terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini.

"Apa yang disampaikan oleh penulis skrip itu ada kritikan sosialnya, kita sudah terlalu ditanamkan ciri seorang ustaz yang maksum tapi sebenarnya mereka manusia biasa yang tidak lari dari godaan syaitan.

"Ia bukan direka-reka untuk menghina mana-mana pihak, sebaliknya beri kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati," ujarnya.

Dalam pada itu, Azhan berkata, sebagai pelakon, dia sendiri berasa puas dengan drama dan skrip yang mempunyai jentikan minda penonton.

Katanya, stesen televisyen sewajarnya memberi peluang kepada drama-drama seperti ini untuk lebih mendidik penonton berbanding drama berkaitan cinta dan romantik semata-mata.

Drama itu dibintangi oleh Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan Noorkhiriah.

Drama terbitan terbitan Radius One Sdn Bhd itu disiarkan sejak 14 Mei lalu pada pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot Samarinda TV3.


Nur, Azhan Rani

Artikel Sebelum

Artikel Lain