KUALA LUMPUR: Program Himpunan Artis Sayang Al Quran (Hasa 3.0) bakal menghimpunkan ratusan penggiat seni menerusi penganjuran ketiga mereka, Isnin ini. Dianjurkan oleh Persatuan Usrah Fitrah (UF), program itu buat julung kalinya akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB). Penasihat UF dan Hasa 3.0, ustaz Zul Ramly M Razali berkata, program berkenaan merupakan satu cara untuk penggiat seni mengangkat martabat Al Quran khususnya pada bulan Ramadan. "Artis dan penggiat seni sememangnya dikenali menerusi bidang masing-masing, menerusi program ini mereka bergabung membawa satu suara bahawa mereka juga adalah hamba Allah. "Penganjuran pertama menyaksikan penglibatan 400 penggiat seni diikuti 600 orang dalam Hasa 2.0. Kali ini kami menjangkakan penyertaan yang lebih ramai sekitar 800 orang," ujar Zul kepada mStar Online. Dia ditemui sewaktu sidang media program berkenaan di Bilik Seri Nilam, IB, pada Rabu. Heliza Helmi Antara artis yang terlibat ialah Adam Corrie, Heliza Helmi, Anita Baharom, Lufya Omar dan Diana Amir. Turut mengesahkan kehadiran ialah Nora Danish, Fizo Omar, Arja Lee, Ummi Nazeera, Sharifah Zarina, Radhi OAG dan ramai lagi. Mengulas mengenai pemilihan Panggung Sari sebagai venue acara berkenaan, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Johari Shaarani menyifatkan ia sebagai sesuatu yang amat dialu-alukan. "Satu Ramadan yang indah untuk IB apabila program sebegini sudi bertandang dan dilangsungkan di sini. "Pihak kami juga sangat mengalu-alukan penganjuran program seperti ini dan mungkin akan ada lagi pada masa akan datang," ujarnya. Bertemakan Bisikan Syurgawi (Whisper of Jannah), 70 peratus initipati program dikhususkan untuk bacaan Al Quran manakala 30 peratus lagi melibatkan persembahan nyanyian dan nasyid. Kemuncak acara juga bakal menyaksikan penganugerahan Tokoh Hamalatul Quran. Pemenang akan diumumkan pada malam Hasa 3.0. Untuk rekod, Hasa pertama dianjurkan di Menara Felda pada 2016 diikuti Hasa 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun lalu.