PETALING JAYA: Stesen radio Suria tampil dengan variasi program menarik dengan tema 'Segalanya Lebih Bermakna' sempena Ramadan dan Syawal pada tahun ini. Selain program berdurasi pendek yang boleh ditonton menerusi laman web www.suria.my stesen radio itu turut menganjurkan peraduan duit raya untuk pendengar mereka. Pendengar bertuah berpeluang memenangi duit raya bernilai RM150 menerusi program Duit Sampul Suria yang bermula 14 Mei lalu dan bakal berakhir 8 Jun ini. Selain itu, pengisian kerohanian menerusi program Ustaz Di Konti turut disiarkan pada pukul 12 tengah hari dan empat petang dari Isnin hingga Jumaat. Dikendalikan oleh Ustaz Husni daripada Pusat Pungutan Zakat, program itu menjawab setiap persoalan berkaitan Ramadan yang diutarakan oleh pendengar menerusi laman Instagram. Tidak ketinggalan program #FiziKongsi yang dikendalikan oleh Fizi Ali. Penyampai Fizi Ali dalam segmen #FiziKongsi. Pengisian Ramadan Raya Suria turut dimeriahkan dengan #ProjekCinderellaByZulin yang memaparkan transformasi peminat bertuah serta perkongsian tips kecantikan sempena lebaran. Bagi yang gemar memasak, mereka boleh dengarkan program Ceriakan Ramadan bersama Scotch Brite dan menyertai peraduan masakan yang diadakan. Selain wang tunai RM150, pemenang juga berpeluang berbuka puasa bersama penyampai Suria, Cik Piah dan Chef Ezani. Kemeriahan lebaran turut diserikan dengan muzik video lagu raya Segalanya Lebih Bermakna yang dinyanyikan oleh barisan penyampai Suria. "Bersesuaian dengan tema, sifat positif yang ditampilkan penyampai Suria akan memberi makna dan menjadi ikutan pada masyarakat luar yang menonton," ujar Pengurus Program Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin. Sementara itu, pihak Suria turut mengadakan lawatan ke Wad Paediatrik di hospital sekitar Lembah Klang sempena lawatan tanggung jawab sosial, Segalanya Lebih Bermakna. Menerusi program itu, mereka mengagihkan mangkuk tingkat berisi biskut, air kotak, mainan serta barangan eksklusif Suria kepada pesakit. Malah, mereka turut menyampaikan pek berbuka puasa kepada ibu bapa, doktor dan jururawat yang bertugas. Setelah lawatan di Institut Jantung Negara pada 31 Mei lalu, mereka akan bertandang ke Hospital Sungai Buloh pada 5 Jun ini diikuti Hospital Shah Alam pada keesokan harinya.