suria

Pelakon ‘Nur’ - Atiq Azman bermula dari kedai sotong goreng

Atiq menceburi bidang lakonan ketika usia 16 tahun bermula dengan menjadi pelakon tambahan. Foto Instagram: @therajaatiqullah.

KEMUNCULAN pelakon baharu Atiq Azman menerusi drama Nur yang disiarkan di TV3 sepanjang bulan Ramadan mula mencuri perhatian netizen.

Malah, video kelunakan suara Atiq atau Raja Muhammad Atiqullah Shah, 18, membaca surah Ar-Rahman ketika di radio Hot FM baru-baru ini juga menjadi tular.

Kata Atiq yang memegang watak sebagai Mirul dalam drama bersiri itu, dia mula mencuba nasib menjadi pelakon tambahan pada usianya 16 tahun.

Ketika itu, dia masih bersekolah dan dalam pada masa yang sama berniaga menjual sotong goreng di kawasan perumahannya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

"Pada awalnya saya tak minat nak berlakon. Tapi ada satu hari tu, kawan saya yang suruh pergi tengok-tengok ada orang berlakon dekat area kedai saya.

Atiq pernah menjual sotong goreng tepung.

"Masa itu, saya berniaga sotong goreng tepung. Bila dah pergi ke set penggambaran tu, ambil gambar dengan artis, barulah hati terdetik nak mencuba untuk berlakon.

"Jadi, saya cuba pergi uji bakat untuk jadi pelakon tambahan. Sejak itu, saya mula berlakon watak kecil-kecilan," kata Atiq kepada mStar Online.

Tambah Atiq, dia pernah memasuki sekolah tahfiz di Kuala Lumpur dan Terengganu namun hanya bertahan sehingga tingkatan tiga.

"Memang saya pernah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur dan Terengganu. Tapi sampai tingkatan tiga sahaja.

"Saya tak dapat nak teruskan dan ambil keputusan untuk masuk sekolah menengah biasa saja," ujarnya.

Drama Nur menaikkan nama Atiq.

Drama arahan Shahrul Ezad itu bersiaran pada pukul 10 malam di TV3 dan antara barisan pelakon utama adalah Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Azhan Rani, Datuk Jaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Dalam pada itu, Atiq ada perancangan untuk menyambung pelajaran dalam bidang lakonan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Menurut Atiq, keluarga dia turut menyokong niatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.

"Insya-Allah saya ada rancang nak sambung belajar di Aswara tapi belum pasti bila waktunya.

"Alhamdulillah, keluarga tak ada masalah dan sentiasa sokong saya untuk menerusikan karier dalam bidang lakonan," katanya.

Atiq Azman

Artikel Berikut

Artikel Lain