suria

Pada usia 51 tahun, Faizal Hussein masih jadi rebutan

Faizal Hussein tidak berminat untuk bergelar pengarah.

PELAKON Faizal Hussien memberitahu dia tidak berminat untuk bergelar pengarah kerana merasakan dirinya tidak mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

Faizal yang kini berusia 51 tahun berkata, dia ada mendapat banyak tawaran mengarah namun menolaknya kerana yakin hasilnya nanti tidak memuaskan.

"Tawaran mengarah banyak tapi saya memang tidak berminat dan tiada bakat sebagai pengarah jadi lebih baik berlakon sahaja.

"Kalau semua benda nak buat tetapi tiada satu pun yang anda mahir susah juga.

"Saya tahu saya tiada bakat dan tak pernah menyesal menolak pelbagai tawaran mengarah yang diberikan," katanya.

Faizal Hussein masih jadi rebutan produksi filem dan drama.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia bersyukur kerana pada usianya sekarang tawaran berlakon masih banyak malah diberi kepercayaan memegang peranan hero dalam filem.

Kata Faizal, dia berasa beruntung kerana masih mendapat tempat di hati penonton walaupun ramai pendatang baharu yang menghiasi dunia lakonan ketika ini.

"Alhamdulillah saya masih diperlukan sebagai hero pada usia sekarang sudah memasuki 51 tahun.

"Saya lebih puas berlakon dan berada di hadapan kamera. Kalau tengok kebanyakan pelakon Hollywood pun tak ramai yang jadi pengarah.

Faizal bakal muncul dengan filem Kalla.

Dalam perkembangan lain, Faizal berkata, dia teruja dapat bekerjasama dengan pelawak dan pengacara Nabil Ahmad dalam filem televisyen, The Hantus.

Katanya, ia adalah antara projek berbeza yang pernah diterimanya selain perlu memegang watak sebagai hantu.

"Memang seronok kerja dengan Nabil kerana sebagai pengarah dia begitu teliti tentang apa yang dia mahukan.

"The Hantus juga adalah sebuah filem unik dan berbeza membuatkan ia antara projek yang berbeza pernah saya lakukan," katanya.

The Hantus, Faizal Hussein

Artikel Lain