KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia iaitu Tulus mempunyai sebab tersendiri mengapa mengambil masa lama sebelum melancarkan karier seninya di Malaysia. Tulus atau Muhammad Tulus, 31, berkata, walaupun dia pernah mendapat pelbagai tawaran ke negara ini namun merasakan dia perlu masa untuk bersedia kerana tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan. "Jujurnya memang ramai peminat dari Malaysia sering bertanya bila saya mahu datang ke Malaysia dan saya sendiri sebenarnya memang mencari peluang untuk bertemu dengan mereka. "Bagaimanapun ia bukan hal yang mudah selain banyak persediaan yang perlu saya lakukan kerana tidak mahu kehadiran saya di negara ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Tulus hadir ke Malaysia bagi mempromosikan album ketiganya, Monokrom. "Saya mahu ia menjadi sesuatu yang istimewa dan Alhamdulillah akhirnya saya di sini untuk memperkenalkan diri dan muzik kepada lebih ramai pendengar di Malaysia," katanya. Tulus ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya berjudul Monokrom yang diadakan pada Isnin. Monokrom mula berada di pasaran 1 Julai ini dan Tulus pernah menghasilkan dua buah album lain iaitu Tulus (2011) dan Gajah (2014). Dalam pada itu, kata Tulus, dia bersyukur kerana teknologi internet dan media sosial yang tanpa sempadan menjadi penghubungnya dengan peminat di luar Indonesia. Album ketiga Tulus, Monokrom. Malah dia sendiri tidak menyangka mempunyai pengikut yang gemarkan muziknya di Malaysia. "Saya bermula sebagai penyanyi yang bukannya dinaungi oleh label besar dan saya bersyukur sekiranya muzik saya diterima baik oleh peminat di Indonesia. "Namun teknologi Internet dan media sosial mengubah karier saya ke tahap lebih tinggi apabila muzik saya di akses lebih besar termasuk peminat di Malaysia," jelasnya. Sementara itu, Tulus memberitahu sebagai tanda terima kasih dan sokongan peminat dia akan kembali ke Malaysia pada 18 September depan untuk mengadakan konsert sulungnya di Istana Budaya. Tulus menyampaikan tiga buah lagu pada majlis pelancaran albumnya di Kuala Lumpur. Kata Tulus, butiran mengenai konsert itu masih dalam perbincangan namun berjanji akan memberikan persembahan terbaik kepada peminat yang hadir nanti. "Tidak sabar rasanya mahu beraksi di konsert itu nanti dan semalam saya berkesempatan lalu di hadapan Istana Budaya dan tidak menyangka saya akan mengadakan persembahan di lokasi berprestij itu. "Buat masa ini konsep dan butian mengeai konsert itu masih lagi rahsia tetapi saya akan berikan yang terbaik nanti," katanya.