suria

Ella minta Haqiem Rusli jangan fikir cakap orang

Ella menasihati penyanyi Haqiem agar mementingkan bakatnya. Foto: NORAZLINA.

PETALING JAYA: Penyanyi rock terkenal, Ella menasihati penyanyi Haqiem Rusli agar utamakan bakat berbanding memikirkan kritikan orang sekeliling.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 52, berkata dia percaya penyanyi lagu Jatuh Bangun itu mampu pergi jauh dalam industri seni.

"Utamakan dan sayangilah bakat yang ada. Saya tahu dia berbakat besar. Dia boleh menyanyi, suara sedap dan sangat bagus dalam mencipta sesebuah lagu.

"Jangan fikirkan apa yang orang sekeliling katanya. Kena sentiasa dan ambil yang positif.

"Jangan cepat mengalah disebabkan kritikan dan kecaman daripada netizen," kata Ella kepada mStar Online.


Ella harap Haqiem tidak cepat mengalah.

Ella ditemui ketika sidang media konsert Metal Legend II Live In JB di Oasis Village, Oasis Ara Damansara, di sini pada Rabu.

Ratu Rock Malaysia ini diminta mengulas mengenai luahan Haqiem yang ingin bersara dari industri seni disebabkan mengalami masalah kemurungan.

Dalam pada itu, Ella bakal berkongsi pentas bersama kumpulan rock Prime Domestic menerusi konsert Rockstar yang akan diadakan pada 7 September depan.

Menurut Ella, konsert kali ini dia akan menampilkan persembahan berkonsepkan 'Rock & Roll' berdurasi selama satu jam setengah.

Ella akan berkongsi pentas dengan Prime Domestic, Cromox dan Sil Khannaz.

"Untuk konsert kali ini saya hanya ingin tampil dengan persembahan konsep Rock & Roll saja.

"Masa dapat tawaran untuk turut serta dalam konsert ini saya dah rasa teruja. Sebab tawaran kali ini berbeza.

"Sebab ia adalah gabungan dengan beberapa buah kumpulan rock di Malaysia di satu pentas yang sama," ujarnya.

Selain Ella dan Prime Domestic, kumpulan Cromox dan Sil Khannaz turut serta dalam konsert yang akan diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang (PPG), Johor.

Pembelian tiket dan maklumat Konsert Metal Legend 2 Live In JB boleh dibuat dengan melayari www.ilassotickets.com.

Ella, Haqiem Rusli

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan