TINDAKAN pramugara penerbangan tambang murah AirAsia mempelawa penyanyi Ameng Spring untuk menghiburkan penumpang dalam pesawat itu mendapat perhatian. Ameng yang dalam penerbangan ke Sibu pada Sabtu tidak mengecewakan pramugara itu apabila mendendangkan sebuah lagu berjudul Sampai Hati dan Butakah Cinta menerusi sistem pembesar suara dalam pesawat. "Pagi tadi KUL-SIBU. Untuk tidak menghampakan permintaan carbin krew AirAsia secara spontan menyanyikan santai-santai je lagu Spring. "Maaf atas kekurangan ya dan terima kasih Johan Aziz atas video ini," tulisnya di Instagram. Menerusi video berkenaan pramugara yang sedang membuat pengumuman keselamatan itu mengalu-alukan kehadiran vokalis kumpulan Spring itu dalam penerbangan tersebut. "Saya membesar dengan lagu-lagu beliau, kalau abang izinkan saya nak buat introduction satu lagu dan kalau sumbang abang tampar muka saya. "Saya nyanyi permulaan lepas abang sambung ya," ujarnya. Video yang dimuat naik oleh Ameng itu dirakamkan oleh promoter pertunjukan pentas, Johan Aziz yang bersamanya mendapat perhatian peminat-peminatnya yang menyifatkan penyanyi itu sebagai sporting. Segelintir juga berkata suara Ameng tetap terbaik biarpun hanya menggunakan mikrofon pembesar suara sahaja.