suria

Erma Fatima syukur Najib ditahan, kuranglah dosa rakyat Malaysia

Erma Fatima syukur penangkapan Najib hentikan spekulasi

PELAKON dan pengarah Erma Fatima meluahkan rasa syukur dengan berita penangkapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Erma berharap dengan penangkapan tersebut akan mengurangkan dosa semua rakyat Malaysia yang tidak henti-henti berbalah tentang perkara itu.

"Air mata aku menitis tak pasal-pasal malam ni. Sebak kerana sekian lama aku menunggu saat ini. Jiwa aku makin sakit melihat bangsa aku berbalah antara satu sama lain.

"Mungkin kalian boleh mengatakan aku biadap kerana seolah-olah berharap pada penangkapan ini. Silakan! Aku berharap penangkapan ini akan mengurangkan dosa kita semua," tulisnya di Instagram malam Selasa.

Erma berkata, biarpun berita itu perit untuk diterima oleh penyokong dan ahli keluarga bekas perdana menteri itu, namun ia adalah pengakhiran segala fitnah.

Status Erma Fatima mendapat perhatian netizen.

Tambahnya, peristiwa ini juga bakal menjadi sejarah buat negara dan membuka mata seluruh rakyat dan pemimpin negara lain.

"Walaupun perit untuk dilalui oleh keluarga DSN dan penyokong Barisan Nasional namun aku berharap disinilah berakhirnya segala fitnah memfitnah dan segala macam spekulasi kita kepada beliau.

"Saat ini akan menjadi saat bersejarah buat negara kita, saat yang bakal membuka mata seluruh rakyat dan pemimpin negara yg lain tanpa mengira parti politik.

"Aku hanya mampu berdoa agar Allah tunjukanlah kebenaran kepada kami semua," tulisnya.

Dalam pada itu, Erma memohon agar masyarakat menghentikan penghinaan terhadap beliau.

"Saya mohon kepada sahabat-sahabat semua. Hentikanlah memperlekeh dan menghina beliau.

"Itu bukan budaya kita... biarkan undang-undang menentukan segalanya," ujarnya.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur pada 2.35 petang Selasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu telah hadir ke ibu pejabat SPRM dua kali bagi merekodkan keterangan berhubung kes SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Beliau didakwa di mahkamah pada Rabu dengan empat pertuduhan melibatkan kes rasuah dan pecah amanah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Erma Fatima

Artikel Lain