suria

Aktor muda buat kejutan, lamar A. Aida di kedai Arab! Nikah waktu terdekat

A. Aida menerima kejutan dilamar pelakon muda Wan Ariff Aziz.

PETALING JAYA: Gosip yang bertebaran sejak Ramadan lalu kononnya Datuk A Aida hangat bercinta dengan pelakon muda ialah cerita benar apabila produser itu menerima kejutan dilamar Wan Ariff Aziz, pada malam Khamis.

Kejutan itu dilakukan oleh Wan Ariff, 29, di sebuah restoran Arab di Kampung Baru dekat sini dengan menyarungkan cincin lamaran sambil diiringi petikan gitar oleh sahabat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Labur RM3 juta, ‘Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda’ pasti dapat sambutan

“Saya dijemput Ariff untuk keluar makan. Tak sangka pula tiba-tiba muncul kawannya sambil menyanyi dan petik gitar dan adik dia rakam gambar Ariff melamar saya.

“Jujurnya saya amat terharu kerana tidak pernah melalui pengalaman macam ni,” ujar A. Aida kepada mStar Online.

Inilah Wan Ariff... cinta hati terbaharu A.Aida. FOTO: Instagram Wan Ariff.

Menurut A. Aida atau Zaidah Awang, sebelum diminta hadir untuk makan malam bersama itu, Ariff memintanya memakai tudung dengan alasan dia mahu melihat wajah Aida menutup aurat.

Kata A. Aida, dia memenuhi permintaan Ariff itu dan tidak menyangka ada sesuatu kejutan yang dilakukannya.

Ujar A. Aida, dia tersipu-sipu malu ketika dilamar kerana kejadian tersebut turut disaksikan oleh pelanggan restoran berkenaan.

Ditanya apakah perancangan selepas lamaran itu A. Aida, 47, berkata, buat masa ini Ariff sedang melakukan urusan pernikahan dan mereka dijangka akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Sebelum lamaran itu rupa-rupanya Ariff sudah uruskan segala dokumen berkaitan urusan nikah dan Insya-Allah… majlis nikah akan diadakan secepat mungkin jika segalanya berjalan dengan baik.

Imej A. Aida ketika memenuhi ajakan Ariff untuk makan malam bersama.

Majlis resepsi pula berkemungkinan akan diadakan di rumah percutian saya di Janda Baik, Pahang pada pada 20 April tahun depan sempena tarikh hari lahir saya,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan pelakon Misteri Wan Peah itu A. Aida berkata, mereka sudah saling mengenali tiga tahun lalu namun mula rapat sejak Mei lepas apabila Ariff terlibat dalam filem terbaharu terbitan A. Aida Productions iaitu Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda.

Kata A. Aida lagi… dia berhasrat memakai tudung selepas perkahwinan mereka nanti sebagai memenuhi permintaan bakal suaminya itu.

A. Aida pernah melalui tiga kali alam perkahwinan sebelum ini termasuklah dengan Ameng (Spring) dan dikurniakan tiga orang anak melalui dua perkahwinannya.

A. Aida

Artikel Lain