PENYANYI dan pengacara Hunny Madu menyebabkan peminatnya tersentuh hati apabila dia mendedahkan anak lelakinya, Adam Musa yang baharu sahaja mencecah usia tujuh bulan mengalami masalah jantung. Hunny turut memaklumkan Adam yang menghidap penyakit jantung kompleks dipanggil Double Inlet Left Ventricle sejak dilahirkan Disember tahun lalu akan menjalani pembedahan dikenali Stent PDA buat kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin (hari ini). "Anak kami Adam Musa yang kini berusia tujuh bulan sekarang dimasukkan ke IJN untuk menjalani pembedahan kedua Stent PDA sejak lahir. "Dia dilahirkan dengan keadaan jantung yang kompleks dan perlu menjalani beberapa lagi rawatan dan pembedahan bagi memastikan jantungnya membesar dengan baik. Perkongsian Hunny mengenai Adam di InstaStory. "Saya tidak minta banyak, doakan agar kesihatan Adam Musa kembali baik dengan jantung yang kuat. Insya-Allah, Amin," tulisnya. Menerusi InstaStory penyanyi lagu Gucci Dowh itu, Hunny memberitahu Adam perlu menjalani dua lagi pembedahan besar selepas prosedur tersebut. Dalam pada itu, Hunny berkata dia sebenarnya ingin berkongsi mengenai keadaan Adam namun tidak tahu bagaimana untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Ini kerana kata Hunny, setiap kali berfikir atau bercakap mengenainya dia akan berasa lemah memikirkan tentang anak kesayangannya itu. Hunny sentiasa positif menghadapi dugaan. "Saya minta maaf kepada rakan-rakan kerana merahsiakan perkara ini daripada anda. "Saya cuma tidak tahu bagaimana ingin berkongsi mengenai perkara ini. Saya harap anda semua dapat mendoakan untuk Adam Musa," tulisnya. Hunny turut memaklumkan dia mendapat tahu mengenai keadaan anaknya sehari selepas Adam dilahirkan dan bayinya itu terus dibawa ke sebuah hospital lain bagi mendapatkan rawatan sepatutnya atau dia akan kehilangannya dalam tempoh 24 jam. "Saya selalu sorokkan kesedihan saya, jarang sekali menitiskan air mata. Sama-sama kita mendoakan agar Adam Musa kembali sihat. "Saya pilih untuk selalu fokus kepada perkara positif, karier dan mengalihkan perhatian saya tetapi jauh disudut hati, saya perlu tabah dan kuat deminya," katanya. Dalam satu perkongsian lain, Hunny memberitahu dia pernah tertanya-tanya mengapa Allah memilih anaknya untuk menghadapi ujian tersebut dan perkara itu tidak pernah diberitahu kepada sesiapa. Bagaimanapun kata Hunny, dia sedar Adam dipilih untuk melawan penyakitnya kerana anak kesayangannya itu seorang yang kuat. "Biar saya beritahu sesuatu, pada hari saya mengetahui mengenai keadaannya, kami berada di nurseri dengan bayi yang baru lahir lain dan saya terfikir... kenapa Tuhan memilih Adam? Mengapa tidak bayi di hujung sana? Adam menjalani pembedahan di IJN pada Isnin. "Saya tidak pernah beritahu sesiapa. Saya bersyukur saya tidak merasa seperti itu lagi kerana saya tahu Adam dipilih untuk melawan. "Saya ada bayangan tentang Adam berkahwin, graduasi dan saya tidak pernah bermimpi menukar atau memilih bayi lain sekiranya saya diberi pilihan itu. "Saya tetap akan pilih Adam Musa," tulisnya lagi.