suria

Suami sakit apa? “Kalaulah mudah, dah lama aku khabarkan” - Fynn Jamal

Fynn Jamal meminta semua mendoakan agar diberi kesembuhan kepada suaminya, Hazrilfitri Hadzir. Foto Instagram @fynnjamal

PERKONGSIAN penyanyi Fynn Jamal menerusi beberapa entri di Instagram yang memberi bayangan tentang keadaan Hazrilfitri Hadzir sedang sakit sejak kebelakangan ini mengundang pertanyaan mengenai keadaan sebenar suaminya itu.

Fynn atau Affina Yanti Jamalludin, 35, bagaimanapun menjelaskan dia sendiri tidak mempunyai jawapan mengenai persoalan itu dan meminta agar diberikan ruang dan masa.

"Boleh anda semua bertimbang rasa dan ada rasa belas kasihan wahai pengikut kesayangan semua?

"Aku cuma minta kefahaman dan masa. Tidak cukup ditanya di ruang komen, ada di antara anda yang menggangu rakan dan keluarga untuk mengetahui perkara sebenar.

Penjelasan Fynn mengenai suaminya di Instagram.

"Tak ada makna. Kami semua tak ada jawapannya," tulis Fynn.

Dalam pada itu, Fynn berkata, dia memaklumkan mengenai suaminya yang tidak sihat kerana merasakan perkara itu perlu sekiranya ada perkara berbangkit seperti hutang, masalah atau pun isu lain.

Kata Fynn lagi, ada sebab mengapa dia tidak memaklumkan keadaan sebenar suaminya termasuk dia sendiri masih keliru dan samar mengenai penyakit dihadapi tersebut.

"Makluman tentang suami tak sihat itu perlu. Sekirang ada hutang, ada masalah, ada isu. Takut orang fikir kerja tertangguh adalah sengaja maka pemberitahuan perlu ada.

"Tapi tidakkah cukup sekadar itu? Pastinya ada sebab kenapa masih tidak ditulis diagnos sebenar, antaranya; kami sendiri masih dalam keliru dan samar-samar.

Pasangan ini bersama dua anak mereka, Bakti Arjuna Fitri dan Sakti Kencana Fitri.

"Kalaulah mudah, dah lama aku khabarkan, kan? Kalau patah, bilang patah. Kalau demam, bilang demam. Kan?," jelasnya lagi.

Sementara itu, Fynn memohon maaf kepada pengikutnya kerana sejak kebelakangan ini tulisannya di laman sosial itu agak berat bukan seperti kebiasaan.

"Di sini sahajalah ruang aku ada untuk bercakap tentangnya. Beri aku dua tiga hari lagi. Insya-Allah apabila perasaan aku kembali tenang - aku cuba semula berjenaka.

"Doakan suamiku, Hazrilfitri Hadzir kesembuhan. Semoga dia jadi seperti sediakala. Aku Wallahi merindui senyumannya," katanya.

Fynn Jamal

Artikel Lain