suria

A. Aida, Ariff Aziz bersatu dengan dua kali lafaz nikah

Datuk A. Aida dan pelakon Ariff Aziz selamat disatukan sebagai suami-isteri pada malam Sabtu.

SUBANG JAYA: Dengan dua kali lafaz nikah, produser Datuk A. Aida akhirnya bergelar isteri kepada aktor Ariff Aziz hanya selepas tiga bulan menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah kira-kira pukul 8.55 malam di Hotel Dorsett Grand di sini, malam Sabtu yang turut dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat serta media.

A. Aida atau Zaidah Awang, 47, dan Ariff dinikahkan oleh Imam 2 Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, Mohammad Imran Nasohah.

Ariff, 29, menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin kepada pengantin perempuan manakala wang hantaran sebanyak RM20,000.

Pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu turut menghadiahkan tiga dulang hantaran berupa jam tangan mewah jenama Cartier seberat 1.24 karat berserta beg tangan Hermes kepada A. Aida.

Pasangan pengantin bergambar bersama tiga anak A. Aida daripada perkahwinan terdahulu.

Manakala produser terkenal itu membalas lima dulang hantaran termasuk jam tangan jenama Hublot, sebentuk cincin, beg bimbit Louis Vuitton, minyak wangi Chanel berserta kuih-muih dan manisan.

Sementara itu, Ariff atau Wan Izma Ariff Abd. Aziz memberitahu dia berasa lega majlis tersebut berjalan dengan lancar dan seperti pasangan lain dia berharap perkahwinannya itu akan kekal ke akhir hayat.

Pasangan itu berkenalan sejak tiga tahun lalu ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama dibawah produksi A. Aida namun ketika itu hubungan mereka sekadar profesional dan hanya mula rapat sejak tiga bulan lalu.

A. Aida memberitahu dia terbuka hati untuk menerima Ariff sebagai suami selepas melihat kepada budi pekerti, sikap bertanggungjawab dan sempurna pegangan agama yang ada pada pemuda itu.

Pada 4 Julai lalu, Ariff membuat kejutan dengan melamar A. Aida di sebuah restoran Arab di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan memberikan sebentuk cincin.

Majlis kenduri kedua-dua mempelai dijadualkan akan diadakan di rumah peranginan A. Aida di Janda Baik, Pahang pada 20 April 2019 sempena tarikh hari lahir produser itu.

Ia adalah perkahwinan keempat buat A. Aida dan pertama kali untuk Ariff.

Untuk rekod, Ariff pernah muncul menerusi beberapa drama termasuk Misteri Wan Peah, Cucu Tauke Beras, Tundukkan Playboy Itu, Abang Sado Boleh Satel dan filem Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda.

A. Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan namun mereka bercerai pada tahun 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 21 dan Wan Azevanatassha yang berusia 16 tahun.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan seorang pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2007 namun perkahwinan itu berakhir dengan penceraian pada 2013.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 9 tahun.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, A.Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa sebelum mengenali Suffian.

A. Aida, Ariff Aziz

Artikel Lain