suria

Aktivis teater Khalid Salleh meninggal dunia

Khalid Salleh meninggal dunia pada Isnin.

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis teater, Khalid Salleh meninggal dunia pada Isnin.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang.

Anak Allahyarham, Israr Khalid memberitahu bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu dan arwah dikejarkan ke hospital pagi Isnin sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Kata Israr, sejak tahun lalu, bapanya sukar untuk membuang air kecil dan terlantar di katil sejak Mei lepas.

"Mula-mula dulu suspek prostat bengkak dan tadi doktor beritahu mungkin tibi dan kuman dah merebak sehingga jantung, paru-paru dan tulang.

Khalid bersama pengarah filem Jogho, U-Wei Shaari (tengah) dan Normah Damanhuri pada acara Festival Filem Malaysia 1999.

"Bagaimanapun Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul tiga petang tadi," katanya yang memberitahu Allahyarham akan dikebumikan sebelum solat Maghrib, pada Isnin di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kosas, Ampang.

Pada Januari lalu, nama Khalid menjadi sebutan apabila gambarnya yang menunjukkan dirinya dalam keadaan uzur menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun Khalid ketika itu memaklumkan dirinya dalam keadaan baik dan menyifatkan sakit dialaminya adalah perkara biasa bagi warga emas sepertinya.

Sepanjang kariernya dalam bidang seni, Khalid pernah menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei, Taiwan pada 1998 menerusi filem Jogho.

Allahyarham adalah pelakon lelaki kedua menerima trofi tersebut selepas Seniman Allayharham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali pada 1957 di Tokyo, Jepun.

Aishah turut melahirkan rasa terkejut dengan pemergiaan Khalid.

Khalid sekali lagi diberi pengiktirafan menerusi trofi sama menerusi Festival Filem Malaysia 1999.

Beliau juga pernah menulis buku Melayu Hilang di Dunia selain popular menerusi filem seperti Azizah The Legend dan Hanyut.

Sementara itu, penyanyi Aishah melahirkan rasa terkejut atas berita pemergian Allahyarham yang disapanya dengan panggilan Wak.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu juga turut memuat naik gambarnya bersama Khalid ketika menziarahi pelakon itu pada hari raya Aidfilfitri lalu.

"Innalillahiwainnailaihirojiun... Menggigil kepala lutut mendapat berita pemergian 'Wak' Khalid Salleh sebentar tadi. Ya Allah ampunilah dosa2nya,luaskanlah kuburnya,letakkanlah rohnya bersama orang-orang yang soleh.

"Dialah pemikir, seniman, penulis ,aktor yang disegani dan lebih penting seperti abang sendiri. Tak sangka gambar yang diambil bersama gambar terakhir kami bersama pada hari raya pertama. Al Fatihah," tulisnya.

Khalid Salleh

Artikel Lain