PELAKON Rita Rudaini tidak menafikan ada pihak yang berminat untuk menjadikan buku tentang kisah hidupnya yang berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan sebagai drama bersiri. Rita, 42, berkata, setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan kerana ingin memastikan karya tulisan Pengarang Pancaindera Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin itu divisualkan dengan baik. "Saya sayang karya tulisan Tengku Khalidah itu kerana apa yang beliau telah hasilkan itu cukup baik dan jika ada yang ingin menjadikannya ia drama ia perlulah setaraf atau lebih baik lagi. "Alhamdulillah, ada beberapa pihak menunjukkan minat dan perbincangan ada dibuat cuma saya perlu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kerana Aku Seorang Perempuan’ dedah rahsia Rita nikah di gudang beras Rita bersama Pengarang Pancaindera Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin ketika hari pelancaran bukunya Mei lalu. "Bukan apa saya tidak mahu ia sekadar naskhah tangkap muat sahaja," katanya. Dalam pada itu, tanpa berselindung, Rita berkata, dia membayangkan aktres Siti Elizad Sharifuddin melakonkan watak dirinya sekiranya projek itu benar-benar terjadi. "Yang saya lihat boleh membawakan watak sebagai diri saya dalah Siti Elizad. "Karakter dan kredibiliti dia sebagai pelakon saya cukup kagum dan ada perkara tentang dirinya yang saya rasa boleh menjadi 'diri saya' dalam drama itu nanti," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Rita tampil dengan projek terbaharunya iaitu sebuah drama web berjudul Projek Dapat Baby yang menggandingkannya dengan Tony Eusoff. Siri lapan episod itu boleh ditonton menerusi saluran Youtube dan Facebook Najwa Medispa bermula 30 Julai (hari ini) pada setiap Isnin dan Selasa, 1 petang. Selain Rita dan Tony, ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Azhar Sulaiman, Louisa Chong, Aida Khaleeda dan Fikri Ibrahim.