suria

"Mahadzir dapat memo gara-gara kami tak tahan gelak" - Ras Adiba

Ras Adiba turut memuat naik foto kenangan ketika bersama Allahyarham Mahadzir dan Wan Zaleha. Foto IG Ras Adiba

PERSONALITI TV Ras Adiba Radzi memberitahu pernah melalui pengalaman manis bersama Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman apabila mereka terpaksa memberhentikan berita 10 minit lebih awal kerana tidak dapat menahan ketawa.

Ras Adiba, 50, berkata, disebabkan perkara itu, arwah menerima notis amaran kerana beliau merupakan pembaca berita senior.

"Saya kenal dia sejak tahun 1986 ketika mula bekerja di bilik berita TV3. Ada satu kenangan lucu apabila kami terpaksa memberhentikan berita awal 10 minit kerana masing-masing tidak tahan gelak.

"Akibat perkara itu abang mendapat memo daripada pihak atasan. Saya tidak dapat sebab masa itu kerana saya masih baru. Saya percaya, dialah yang menyelamatkan saya ketika itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Ras Adiba ditemui ketika hadir menziarahi pengebumian Allahyarham Mahadzir di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Sabtu.

Ras Adiba anggap Mahadzir sebagai abang dan guru.

Bekas pengacara TV3 itu meninggal dunia pada awal pagi Jumaat. Beliau yang berusia 61 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hotel di Tanjung Aru, Sabah kira-kira pukul 6 pagi selepas menunaikan solat Subuh.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaya (UIA), Petaling Jaya pukul 9.30 pagi dari kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya untuk solat jenazah.

Jenazah tiba di kediamannya itu pukul 4.30 pagi menerusi penerbangan MAS yang berlepas 11.05 malam Sabtu.

Tambah Ras Adiba, beliau menyifatkan arwah seorang abang dan guru yang banyak mengajarnya dalam bidang penyiaran.

"Kali terakhir dia ucapkan selamat hari jadi kepada saya pada 27 Julai lalu dan dia pesan agar saya terus kuat menjalani kehidupan,” ujarnya.

Amy Search ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sementara itu, penyanyi Amy Search menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan yang suka mengusik dan pandai berjenaka.

Katanya, beliau juga tidak pernah berubah sejak pertama kali mengenalinya di TV3 ketika dia baharu menceburkan diri dalam dunia muzik.

"Kami kenal sangat lama ketika baru bergelar artis dan datang ke TV3, masa itu dia sudah hulurkan salam perkenalan dan memberitahu dia suka dengan nyanyian saya.

"Daripada situ hubungan kami baik sampailah sekarang. Walaupun dia tidak sihat tapi dia masih mahu bergurau dan melayan kita dengan baik," ujarnya.

Amy juga berkata, kali terakhir Allahyarham mahu bergambar kenang-kenangan pada Hari Raya Aidilfitri lalu.



Artikel Lain