PENYAMPAI radio Suria Fm Fizi Ali berkongsi berita gembira apabila isterinya iaitu pelakon Shakilla Koriri baharu sahaja disahkan hamil. Bagaimanapun, Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin B Alimudin, 29, berkata, dia tidak mahu terlalu berharap berikutan ia masih pada peringkat awal. "Ahamdulillah masih baru dan saya tidak mahu terlalu berharap. Doakan yang baik-baik sahaja. "Sekarang masih dalam fasa awal dan apa-apa boleh terjadi. Sebenarnya awal lagi untuk bercerita tentang ini," ujarnya kepada mStar Online. Dia ditemui pada majlis pengumuman penyampai baharu Team Pagi Suria yang diadakan di Tropicana City, pada Isnin. Fizi berkahwin dengan Shakilla pada18 Februari lalu. Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari lalu. Mereka mengikat tali pertunangan terlebih dahulu pada 16 Julai tahun lalu selepas empat tahun bercinta. Dalam pada itu, Fizi berkata, dia tidak melarang isterinya untuk terus bekerja ketika dalam keadaan hamil selagi mampu. "Dia seorang yang lasak tidak boleh duduk diam. Terpulang pada dia, jika tidak larat dia akan berehat," ujarnya. Selain itu, Fizi berkata, dia masih berasa tidak percaya sedang menjalani kehidupan bekeluarga dan bakal bergelar bapa. Katanya, apa yang berlaku sudah diaturkan oleh Allah dan terjadi dengan pantas. "Masa nak berkahwin pun saya rasa tak percaya dan sekarang sudah jadi suami isteri. Sekarang rasa yang sama macam tidak percaya bakal jadi bapa. "Apa pun jika diberi rezeki itu saya terima dengan rasa syukur," ujarnya.