suria

Nizen Ayob sihat sepanjang 4 tahun berlakon Gerak Khas - Yusof Haslam

Yusof sifatkan Nizen pelakon berbakat.

PENERBIT drama bersiri kepolisan Gerak Khas Datuk Yusof Haslam berasa sedih dengan berita pemergian pelakon drama itu Nizen Ayob pada Isnin.

Yusof, 64, berkata, Nizen sentiasa berada dalam keadaan sihat sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut tahun lalu.

"Saya terkejut mendengar berita itu semalam (Isnin) kerana sepanjang dia menjalani penggambaran drama Gerak Khas dia tidak pernah sakit dan berhadapan dengan masalah kesihatan kritikal.

"Dia ikut kami shooting hingga ke Thailand tahun lalu tapi semuanya baik sahaja," ujarnya kepada mStar Online pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Gerak Khas - Nizen Ayob meninggal dunia

Pelakon Nizen Ayob meninggal dunia pada pukul 11.55 pagi Isnin di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Menurut pelakon Salina Saibi, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pekan Layang-Layang Johor Bahru.

Yusof berkata, Nizen mula menyertai drama tersebut sebagai Inspektor Nizam sejak tahun 2014.

Bagaimanapun, wataknya direhatkan pada tahun ini dan digantikan dengan beberapa pelakon lain untuk memberi nafas baharu kepada drama berkenaan.

"Dia bersama Gerak Khas sejak 2014 sehingga tahun lalu. Bagi saya dia seorang pelakon baru yang berbakat dan boleh pergi jauh.

"Dia mencari tapak dalam dunia lakonan dan berdisplin. Pemergiannya satu kehilangan besar buat produksi,” ujarnya.

Nizen bersama pelakon Gerak Khas lain Fattah Amin, Salina dan Raja Ilya.

Dalam pada itu, Yusof berkata, dia tidak dapat hadir pada upacara pengebumian jenazah pada petang Isnin berikutan terikat dengan urusan kerja.

Sebelum ini, Nizen, 33, pernah mendedahkan dirinya telah disihir oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Allahyarham membuat pendedahan tersebut menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik foto sebatang paku berkarat dan objek hitam yang tidak dapat dikenal pasti selain kecederaan di dahinya ketika berubat.

Beliau pernah mendapatkan rawatan perubatan Islam untuk merawat penyakit misteri yang dihidapinya pada awal Mei tahun lalu.

Objek serupa dan beberapa batang paku berkarat didakwa telah dikeluarkan daripada badannya.

Nizen Ayob, Yusof Haslam, Gerak Khas

Artikel Lain