KUALA LUMPUR: Penyanyi Yuka Kharisma sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk mengadakan konsert demi kepuasan diri di samping dapat membantu rakan artis. Yuka, 29, berkata dia memang agak sukar untuk menganjurkan sebuah konsert yang berskala besar namun tidak akan serik untuk melakukannya setiap tahun. "Memang susah anjurkan sesebuah konsert yang besar. Tapi sebabkan saya minat nak ada konsert sendiri bersama rakan-rakan artis. "Kalau kita nak tunggu orang buat, memang lambat. Jadi, apa salahnya kita anjurkan sendiri. "Saya sanggup keluarkan modal sendiri demi kepuasan diri sendiri dan dapat juga membantu rakan artis yang lain," kata Yuka kepada mStar Online. Yuka akan mengadakan konsert berskala besar pada tahun hadapan. Yuka ditemui ketika sidang media konsert Voices Of Ladies di Kuala Lumpur Tourism Bureau, Jalan Tangsi, di sini pada Selasa. Sebelum ini, Yuka pernah menganjurkan konsert gabungan dua negara Malaysia dan Indonesia bersama penyanyi Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari pada 28 April lalu. Konsert yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) antara kejayaannya. Yuka Kharisma. Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Indonesia ini tidak kisah sekiranya namanya masih belum dikenali. "Saya yakin satu hari nanti saya akan berjaya tetapi kena terus berusaha dan jangan putus asa sampai orang nampak hasilnya. "Kadang-kadang kalau kita paksa sangat pun, kalau belum tiba masanya, belum lagi rezeki untuk kita," ujarnya. Sementara itu, Yuka akan berkongsi pentas bersama penyanyi Ella, Noraniza Idris, Aishah dan Elda Susanti di konsert Voices Of Ladies pada Sabtu ini. "Memang sangat teruja untuk konsert kali ini sebab dapat berkongsi satu pentas yang sama dengan nama-nama yang hebat. "Saya dapat tawaran untuk konsert ini pada bulan lalu dan terus terima kerana tidak mahu lepaskan peluang," katanya. Konsert yang akan diadakan di Panggung Anniversary itu boleh disaksikan secara percuma.