suria

Mata anak Lan Solo, Sheila tak henti berkedip kerana gajet

DERITA seorang kanak-kanak di Filipina yang terpaksa menanggung sengsara kerana mengalami gangguan saraf pada bahagian muka sejak Julai lalu gara-gara kerap menggunakan gajet turut mendapat perhatian isteri kepada penyanyi Lan Solo iaitu Nur Sheila Hassim.

Sheila yang turut berkongsi video laporan itu menerusi Instagramnya mendedahkan anak ketiganya, Muhammad Akid Qassyaff, 3, nyaris mengalami keadaan sama akibat penggunaan gajet yang menyebabkan mata anakya tidak berhenti berkedip selain mengalami sakit kepala.

"Untuk pengetahuan korang, anak KY (nama Sheila di Instagram), Akid hampir-hampir jadi macam ini, puncanya dari perkara yang sama, gajet!

"Sama kejadiannya, mata tak berhenti berkedip-kedip... Bangun tidur menangis sebab mata sakit, lepas itu sakit kepala," tulisnya.

Dalam pada itu, Sheila berkata, dia bertuah kerana cepat perasan terhadap perubahan anaknya itu dan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan daripada kejadian tidak diingini.

Sheila berkongsi mengenai kisah anaknya di Instagram.

Bagaimanapun katanya, ia bukan satu perkara mudah apabila Akid mengamuk kerana dia dan suami tidak lagi membenarkannya bermain gajet.

"Nasib baik kami cepat perasan. Kami terus simpan semua gajet dan ya, Akid mengamuk sepanjang hari sebab tak dapat gajet.

"Tapi kami kentalkan hati biar sampai dia lupa gajet. Alhamdulillah seminggu je dia lupa semua.," tulisnya lagi.

Tambah Sheila, kesan daripada tindakan segera itu, keadaan Akid kembali pulih seperti sedia kala.

Katanya lagi, perkongsiannya itu kerana ingin berkongsi pengalaman dan berharap pengikutnya yang turut mempunyai anak kecil mengambil iktibar.

"Terus hilang sakit kepala dan mata berkedip dia tu. Anda juga ambil perhatian ya, ini pengalaman kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lan menerusi Instagramnya pula berkongsi detik cemas apabila dahi Akid koyak akibat terjatuh.

Menurutnya, ia adalah kali kedua anak lelakinya itu mengalami perkara sama dan sebelum ini dia pernah menerima tujuh jahitan di tempat sama.

"Alhamdulillah tiada yang terlalu serius tetapi sebagai ibu bapa kerisauan tahap gaban itu adalah lumrah!

"Tambahan pula ini koyak dahi kali kedua. Risau tempat yang sama... tujuh jahitan tau masa koyak dulu. Akid oh Akid!," ujarnya.

Lan Solo, Nur Sheila Hassim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan