HAMPIR 20 tahun menyepikan diri, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Pelamin Anganku Musnah, Azie ingin kembali aktif menghiburkan peminat. Azie atau Roeziah Mustapha, 41, bagaimanapun berkata, dia membuatkan kemunculan semula bukan untuk mengejar populariti sebaliknya mengubat kerinduan peminat. "Jujurnya saya ingin kembali merancakkan karier seni bukan kerana ingin kejar populariti sebaliknya ingin mengubat kerinduan peminat terutamanya di Semenanjung Malaysia. "Saya sendiri pun sangat rindu untuk jumpa kembali peminat-peminat yang mengikuti perkembangan saya sejak dahulu lagi," katanya kepada mStar Online. Azie bersama suami, Rudy Abdul Wahed bersama tiga anak mereka. Azie ditemui ketika menjadi artis jemputan menerusi Showcase Muzik-Muzik 33 yang diadakan di IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini. Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah menghasilkan dua buah album iaitu Azie pada 1995 dan Kau Tetap Dalam Anganku (1996). Bercakap mengenai kehilangannya daripada industri seni, Azie menjelaskan dia sebenarnya masih aktif menyanyi terutamanya di Sarawak cuma kurang membuat kemunculan di Semenanjung Malaysia. Jelas Azie, sejak berkahwin dengan Rudy Abdul Wahed dia membuat keputusan untuk memfokuskan kepada keluarga dan tidak pernah menyesal mengenainya. Azie bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Anganku Terhenti Di sini. "Sejak berkahwin saya memang kembali menetap di Kuching, Sarawak... Kalau diikutkan suami tidak pernah menghalang saya meneruskan karier seni yang sedang di kemuncak ketika itu. "Tetapi sebagai isteri saya ingin memberi tumpuan kepada keluarga namun saya sebenarnya tidak hilang begitu sahaja... Sehingga ke hari ini saya aktif menyanyi terutamanya di Sarawak," jelasnya. Hasil perkahwinan dengan Rudy, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nurul Izza Amani, 17, Muhammad Aiman Al-Hakim, 14, dan Adryeil, 8 tahun. Ditanya sama ada dia bersedia untuk menyertai pertandingan seperti Gegar Vaganza untuk menaikkan kembali namanya, Azie berkata dia terbuka mengenai hal itu. Azie bersama anak perempuan sulungnya, Nurul Izza Amani yang kini berusia 17 tahun. Jelasnya, sekiranya ada jemputan daripada pihak produksi dia tidak keberatan dan menganggap ia sebagai rezeki dalam memperkenalkan kembali namanya dalam kalangan peminat terutama generasi baharu. "Kalau dijemput apa salahnya... Saya anggap ia sebagai rezeki dan saya percaya medium program realiti seperti Gegar Vaganza boleh saya gunakan sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan kembali nama saya," ujarnya. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Azie berkata, dia bakal muncul dengan sebuah single terbaharu ciptaan Rosli Ahmad dan Eddy Sulaiman yang berjudul Anganku Terhenti Di Sini. Kata Azie, lagu itu juga akan dimuatkan dalam sebuah album kompilasi, 6 Artis Suara 90-an menggabungkannya bersama lima lagi artis 1990-an iaitu Azura Aziz, Mac Ruhayu, Norlie Tamam, Adilla Idris dan Haslinda.