suria

Tolak tawaran sertai 'Big Stage', ini jawapan Khai Bahar

Khai Bahar memberitahu jadualnya yang padat sehingga April tahun hadapan punca dia terpaksa menolak menyertai pertandingan Big Stage.

PETALING JAYA: Penyanyi popular Khai Bahar menyangkal dakwaan dia menolak untuk menyertai program realiti Big Stage kerana merasakan dirinya sudah mempunyai nama besar berbanding peserta lain.

Sebaliknya kata Khai, jadualnya yang padat sehingga April tahun hadapan menyebabkan dia terpaksa menolak menyertai pertandingan itu kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah.

"Jujurnya kalau jadual saya tidak penuh memang saya ingin menyertai program itu kerana saya juga masih artis baru.

"Ada tawaran tetapi malangnya saya tidak boleh memberikan komitmen kerana jadual sudah padat dengan aktiviti lain yang terlebih awal datang," katanya.

Khai tidak pernah meletakkan dirinya sebagai penyanyi gred A. 

Dalam pada itu, Khai berkata, dia tidak pernah meletakkan dirinya dalam kalangan penyanyi gred A hanya kerana populariti diraihnya ketika ini.

Sebaliknya kata Khai, dia sentiasa merendah diri dengan apa yang diraihnya ketika ini dan kejayaannya itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan sokongan peminat-peminatnya.

"Seperti saya katakan, saya masih baru lagi dan banyak perlu saya pelajari... Soal meletakkan diri ke tahap lebih tinggi tidak pernah timbul.

"Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi juga membuatkan saya masih di sini dan merekalah pemangkin semangat saya untuk terus bekerja keras," jelasnya.

Khai Bahar, Big Stage

Artikel Lain