suria

Kaer tinggalkan kerjaya pereka hiasan dalaman untuk menyanyi semula

Kaer memberitahu meninggalkan kariernya sebagai pereka hiasan dalaman bagi memberi tumpuan kepada nyanyian.

PENYANYI Kaer Azami memberitahu dia sanggup meninggalkan kariernya sebagai pereka hiasan dalaman yang diceburinya sejak lapan tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada dunia seni.

Kaer, 33, berkata, walaupun sukar membuat keputusan itu namun dia nekad kerana cintanya terhadap bidang muzik tidak pernah pudar walaupun sudah lama menyepi.

"Lapan tahun saya kerja sebagai pereka hiasan dalaman dan kemunculan single bersama Amylea berjudul Tak Pernah Hilang kembali membuka jalan kepada saya dalam bidang muzik.

"Walaupun sukar juga membuat keputusan itu tetapi saya tidak menyesal sebab muzik adalah cinta dan jiwa saya.

"Saya mengambil keputusan berhenti pun kerana ingin fokus seratus peratus kepada nyanyian," katanya.

Duet bersama Amylea melonjakkan kembali nama Kaer.

Dalam pada itu, Kaer tidak menafikan populariti lagu Tak Pernah Hilang menjadi pendorong kepadanya untuk kembali bersemangat merancakkan kembali karier seninya.

Malah kata bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu, dorongan daripada rakan-rakan industri termasuk rakan duetnya, Amylea membuatkan dia lebih yakin dengan keputusannya.

"Ini saya namakan rezeki... Alhamdulillah lagu itu sedikit sebanyak berjaya melonjakkan kembali nama saya dan itu adalah peluang yang perlu saya gunakan sebaik-baiknya.

"Sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan juga membuatkan saya lebih yakin kerana jujurnya saya takut juga kerana zaman sudah banyak berubah.

Kaer bakal melancarkan single solonya tahun hadapan.

"Tetapi saya perlu ambil setiap peluang yang ada untuk buktikan diri sebagai penyanyi dalam menarik minat peminat baru," jelasnya.

Bercakap mengenai karier muzik, Kaer berkata, selain bakal muncul dengan single duet bersama Amylea untuk drama bersiri Nur 2 tidak lama lagi dia juga sedang rancak merencanakan karier solonya.

Kata Kaer, dia sedang dalam proses menghasilkan single terbaharunya yang dijangka berada di pasaran pada tahun hadapan.

"Kalau ditanya ramai mahu saya tampil dengan lagu balada seperti Izinkan Aku Pergi dan Tak Pernah Hilang namun untuk single solo, saya mahu tampil kelainan.

"Barangkali muzik yang lebih 'nakal' yang mengetengahkan genre pop R&B," katanya.

Kaer Azami, Tak Pernah Hilang, Amylea

Artikel Berikut

Artikel Lain