suria

“Tak sangka Datuk Siti sayang, selamatkan saya” - Wani Kayrie

Wani terkejut Siti Nurhaliza menggunakan imuniti menyelamatkannya daripada tersingkir. Foto Instagram @wanikayrie

PESERTA Big Stage, Wani Kayrie tidak menyangka juri tetap pertandingan itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menggunakan kuasa imuniti menyelamatkan dia daripada tersingkir di pentas suku akhir rancangan tersebut.

Wani, 18, berkata dia menyedari kerap melakukan kesilapan yang sama ketika persembahan namun juri masih mempercayai bakat dan kebolehannya.

"Sejujurnya, saya tak sangka Datuk Siti masih sayang dan menggunakan imuniti untuk menyelamatkan saya daripada tersingkir.

"Dalam masa yang sama, saya rasa bersalah kerana beliau selalu memberikan komen yang sama tentang persembahan saya, namun masih sanggup menggunakan imuniti itu untuk saya.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Siti dan semua juri yang masih mempercayai bakat saya," katanya kepada mStar Online.

Siti guna imuniti menyelamatkan Wani daripada tersingkir.

Siti Nurhaliza bertindak sebagai juri tetap bersama Faizal Tahir dan juri undangan Jaclyn Victor.

Setiap juri tetap diberikan satu kuasa imuniti untuk menyelamatkan peserta daripada tersingkir.

Sebelum ini, Faizal telah menggunakan kelebihan tersebut kepada Ariff Bahran.

Sementara itu, penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini sudah dapat menjangka namanya bakal berada di tangga tiga peserta dengan markah terendah.

Wani berduet dengan Afieq Shazwan pada suku akhir.

"Saya sudah agak bakal menjadi antara tiga peserta dengan markah rendah dan bakal tersingkir berdasarkan komen juri.

"Malah, markah undian daripada aplikasi TikTok juga rendah dan itu menguatkan lagi andaian saya bahawa minggu ini merupakan saingan terakhir," ujarnya.

Bagi menebus kesilapan lalu, Wani berkata dia akan membuat persembahan yang lebih baik dan tidak akan mengecewakan juri serta peminat yang terus mengundi.

Ujarnya, minggu depan bakal menjadi penentuan sama ada dia akan meneruskan langkah ke final.

Wani akan memperbaiki kesilapan dan melakukan lebih baik.

"Peluang ini ibarat nyawa kedua dan saya akan lakukan kelainan supaya persembahan itu nampak lain daripada sebelum ini.

"Saya akan menyampaikan lagu bergenre pop ballad dan akan menari sambil menyanyi," katanya.

Dalam konsert suku akhir, Wani menduduki tangga keenam dengan markah sebanyak 71.33 peratus.

Enam peserta lain yang mara ke separuh akhir adalah Arif Bahran, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Shafiq Farhain, Baby Shima dan Sarah Suhairi.

Program Big Stage bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton di Astro Ria pada malam Ahad.

Wani Kayrie, Big Stage

Artikel Lain