BUAT pertama kali program Jelajah Suria diadakan secara langsung di Mydin Meru Raya, Ipoh disiarkan menerusi frekuensi Suria berlangsung selama satu jam pada Sabtu lalu. Menurut Pengurus Kanan Program Suria, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin program tersebut merupakan kelainan baharu untuk siri jelajah Suria. "Dalam sejarah penganjuran Jelajah Suria, ini kali pertama Jelajah Suria disiarkan secara langsung menerusi frekuensi Suria selama satu jam. "Acara bermula 5 hingga 6 petang itu bagi membolehkan pendengar Suria dapat mengikuti acara yang sedang berlangsung. "Ia adalah sesuatu kelainan yang kami ingin tonjolkan pada siri jelajah kali ini,” kata DJ Lin. Tajul, Syamel dan Amir Masdi antara artis jemputan yang membuat persembahan. Ramai peminat dan pendengar setia Suria hadir untuk mendaftar pertandingan karaoke yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500. Siri jelajah itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Amir Masdi, Naim Daniel, One Avenue Band, Syamel, Tajul, Wany Hasrita dan Eza Edmond. Selain dapat beramah mesra dengan lebih dekat dengan penyampai dan selebriti, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai permainan pentas yang disediakan seperti Kutu Karoks dan memenangi wang tunai, barangan eksklusif Suria serta hadiah misteri. Jelajah Suria kali ini juga memberi fokus kepada gandingan penyampai baru Suria, Shahrol Shiro, Issey & Fizi Ali untuk slot Team Pagi Suria yang ke udara setiap pagi bermula 6 pagi - 10 pagi, Isnin hingga Jumaat. Barisan penyampai radio Suria FM akan bertemu pendengar setia di AEON Bukit Raja pada Sabtu ini. Tujuh lokasi pilihan yang diadakan secara berturut melibatkan empat siri jelajah dan tiga siri mini jelajah yang berlangsung setiap hari Sabtu bermula 1 September hinggalah 13 Oktober depan. Dalam pada itu, Suria mempunyai perancangan untuk mengadakan siri mini jelajah yang dipanggil Team Pagi Suria Belanja Makan bermula di Kuatan, Pahang pada 13 Oktober depan. Lokasi Jelajah Suria seterusnya akan diadakan di AEON Bukit Raja, Klang pada Sabtu ini. Barisan selebriti jemputan yang akan membuat persembahan terdiri daripada Datin Alyah, Lan Solo, Amir Masdi, Nabila Razali, One Avenue Band, Sofarz, Ben Laden dan Tegar.