PENYANYI Yunalis Zarai atau Yuna menyelar tindakan sebuah majalah berkaitan perkahwinan terbitan di Amerika Syarikat iaitu Brides berikutan menyiarkan sekeping foto pada majlis pernikahannya tanpa kebenaran. Yuna, 32, menerusi akaun Twitternya memberitahu dia berharap pihak majalah tersebut sekurang-kurangnya memberi kredit kepada jurugambar perkahwinannya itu, Weddingsbyqay jika ingin menggunakan foto berkenaan. "Saya benci untuk mengatakan ini tetapi @Brides, sekurang-kurangnya nyatakan itu adalah perkahwinan saya? (dan beri kreditr kepada jurugambar kami @weddingsbyqay) jika anda ingin menggunakan foto perkahwinan saya dalam majalah anda?," tulisnya di Twitter. Gambar yang digunakan itu adalah daripada majlis pernikahan Yuna dengan suami, Adam Yousof Sinclair di Bentong, Pahang pada 26 Januari lalu. Yuna dan Adam berkahwin pada 26 Januari lalu. Foto @weddingsbyqay Ia juga adalah antara gambar yang sama diedarkan oleh pihak pengurusan Yuna kepada media di Malaysia selepas majlis berkenaan berlangsung. Menerusi halaman tersebut, Brides memaparkan perkahwinan yang menggunakan gaya turban selain turut menampilkan gambar perkahwinan seorang wanita dari Afrika Selatan, Amanda Dilima yang mengenakan gaya sama. Yuna menerusi ruangan komen postingnya itu berpendapat pihak majalah itu berkemungkinan tersalah anggap dia dan Amanda adalah orang yang sama memandangkan kedua-dua mereka mengayakan turban pada hari perkahwinan. "Saya rasa mereka mungkin fikir kami adalah orang yang sama! (wanita dalam foto dibawah gambar saya)," tulisnya. Dalam perkembangan lain, menerusi perkongsian di Twitter dan Instagram, Yuna kini sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.