MEMPERSEMBAHKAN lagu kumpulan Blackpink berjudul Ddu Du Ddu Du pada konsert minggu keempat lalu, juara Big Stage musim pertama, Sarah Suhairi memberitahu ada peminat menegurnya dengan tajuk lagu tersebut. Sarah, bagaimanapun berkata dia tidak kisah dengan panggilan tersebut kerana ia sedikit sebanyak membantu membuatkan dirinya semakin dikenali. "Selepas persembahan lagu itu, ada orang yang menegur saya sebagai Sarah Ddu Du Ddu Du. ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Suhairi juara Big Stage, bawa pulang RM100,000 ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ddu Du Ddu Du’ nyanyian Sarah Suhairi dapat perhatian Blackpink "Mungkin sebab saya sahaja yang nyanyikan lagu Kpop di program Big Stage sampaikan orang jadi ingat, saya okay dan tak kisah tentang hal itu. Persembahan Sarah semasa pentas akhir menerima pujian juri dan penonton. "Program realiti ini merupakan platform untuk saya kembangkan bakat sebagai penyanyi dan bersyukur ia membuatkan saya semakin dikenali," katanya kepada mStar Online. Sarah ditemui selepas Konsert Akhir Big Stage musim pertama yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad. Penyanyi berusia 18 tahun ini membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi. Pada pentas akhir itu, Sarah menyanyikan lagu Awan Terpilu nyanyian asal Ning Baizura dan lagu baharu berjudul Jiwa dan Raga ciptaan Iman Imran dan Rumnan. Menyebut mengenai hadiah kemenangan, Sarah memberitahu dia sudah mempunyai perancangan untuk hadiah wang tunai tersebut. Kesemua peserta bersama hadiah kemenangan masing-masing. Dari kiri Wani Kayrie, Syafiq Farhain, Sarah Suhairi, Afieq Shazwan dan Baby Shima. "Wang kemenangan ini akan saya gunakan sebaiknya, RM50,000 untuk simpanan masa depan dan kembangkan karier seni. "Manakala selebihnya untuk simpanan di Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). "Penting untuk membuat simpanan kerana kita tak tahu apa akan berlaku pada masa depan, lagi pula kerjaya sebagai artis ada turun dan naik," ujarnya. Big Stage musim pertama mengangkat Syafiq Farhain sebagai naib juara dan tempat ketiga milik Afieq Shazwan. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi. Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Wani Kayrie dan Baby Shima. Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri undangan Mas Idayu dan Mark Adam.