suria

Sarah Suhairi juara Big Stage, bawa pulang RM100,000

Sarah Suhairi (tengah) muncul sebagai juara program Big Stage musim pertama yang berlangsung pada malam Ahad. Foto AZHAR ARIF

SHAH ALAM: Penyanyi Sarah Suhairi muncul sebagai juara program Big Stage musim pertama yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Sarah, 18, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Sarah menerusi ucapan kemenangannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama peminat sehingga membolehkan dia bergelar juara.

“Alhamdulillah, kemenangan ini atas sokongan semua yang tak henti-henti memberi semangat sepanjang saya di pentas ini,” katanya.

Pada pentas akhir itu, Sarah menyanyikan lagu Awan Terpilu nyanyian asal Ning Baizura dan lagu baharu berjudul Jiwa dan Raga.

Kesemua peserta bersama hadiah kemenangan masing-masing. 

Naib juara dimenangi oleh Shafiq Farhain dan tempat ketiga oleh Afieq Shazwan. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Wani Kayrie dan Baby Shima.

Peringkat akhir itu menyaksikan kesemua lima peserta perlu mendendangkan sebuah lagu pilihan dan single terbaharu mereka.

Shafiq Farhain menyampaikan lagu Antara Hujan Dan Air Mata nyanyian asal Sudirman dan lagu baharu, Aku Jatuh Cinta, Baby Shima (Police Entry / Elizabeh Tan, Sirna), Wani Kayrie (Pematah Hati / Nabila Razali, Saat Terindah) dan Afieq Shazwan (Footloose / Kenny Loggin, Darjat).

Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri undangan Mas Idayu dan Mark Adam.

Keputusan pemenang ditentukan daripada 70 peratus pemarkahan juri dan 30 peratus undian aplikasi TikTok.

Malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Alec Benjamin menerusi lagu Let Me Down Slowly.

Big Stage disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan ia dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Artikel Lain